Thursday, 4 April 2019

Pembinaan infrastruktur di Taman Negara Gua Niah dilaksana tahun ini

April 04, 2014


KUCHING: Pembinaan infrastruktur merangkumi laluan dan jambatan gantung di Taman Negara Gua Niah akan mula dilaksanakan tahun ini selepas kabinet Sarawak meluluskan projek berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kementeriannya sedang menyiapkan kertas kabinet mengenai kos projek berkenaan.

“Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) telah mengarahkan agar pembinaan prasarana terutama laluan dan jambatan di Gua Niah dipercepatkan.

“Sehubungan itu satu kertas cadangan akan dikemukakan kepada kabinet negeri dalam tempoh dua bulan akan datang, supaya pengunjung senang ke Gua Niah. Kita juga akan membina jambatan gantung kerana ia tidak menjejaskan ekosistem semula jadi di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Negeri Sarawak di sini, semalam.

Menurutnya penemuan baharu penyelidik mendapati Gua Niah telah diduduki manusia sejak 65,000 tahun lalu dan ia menjadi produk baharu pelancongan yang akan menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke sana.

Dalam perkembangan berkaitan Abdul Karim berkata Sarawak akan terus membangunkan industri pelancongan kerana ia merupakan antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) selain sektor minyak dan gas.

Pada tahun lalu katanya, sektor industri pelancongan telah menyumbang RM7.95 bilion dan ia banyak memberi manfaat kepada industri sampingan yang lain.

“Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan industri pelancongan kerana ia boleh melonjakkan lagi ekonomi Sarawak dan negara.

“Bahkan banyak negara sekarang memfokus kepada industri ini kerana ia dapat memberi manfaat kepada industri-industri sampingan,” katanya.

Mengenai jumlah kedatangan pelancong ke Sarawak, beliau berkata pada Januari tahun ini terdapat peningkatan sebanyak 10.92 peratus iaitu 361,334 berbanding Januari 2018.

Peningkatan itu katanya, banyak disumbang Kempen Melawat Sarawak yang dilancarkan Disember tahun lalu dengan pelbagai acara pelancongan dianjurkan di dalam dan luar negara.

“Kempen Melawat Sarawak adalah kempen yang berterusan, bagi tempoh tiga hingga lima tahun dan dalam tempoh itu kita akan terus meningkatkan infrastruktur pelancongan di negeri ini,” katanya.

Abdul Karim turut memaklumkan bahawa kementeriannya kini aktif melibatkan beberapa syarikat penerbangan tempatan dengan syarikat penerbangan dari China untuk menerokai kemungkinan penerbangan langsung dari China.

“Hakikatnya, kita juga bekerja keras untuk merealisasikan penerbangan langsung antara Kuching-Jakarta,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Lee Kim Shin dan Setiausaha Tetap Kementeriaan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment