Saturday, 26 January 2019

Kerajaan negeri janji dana tambahan untuk FAS


(Dari dua kiri) Raymond, Abdullah, Abdul Karim dan Snowdan memperagakan jersi rasmi Sarawak bagi musim 2019.
KUCHING: Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) mendapat suntikan moral selepas kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menambah dana tahunan kepada RM4 juta setahun bagi keperluan mengurus pasukan bola sepak negeri.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semasa Majlis Pelancaran Jersi, Memperkenalkan Pemain dan Lagu Sarawak FA bertempat di Pasar Raya Besar Mydin Petra Jaya hari ini.

“Setiap tahun kita memberi geran kepada FAS sebanyak RM3.5 juta. Tetapi FAS ada menulis kepada kita untuk ditambahkan, jadi saya sudah bawa ke atas dan tidak akan menjadi masalah,” jelas Abdul Karim.

Visit Sarawak Campaign
Beliau memberi jaminan tidak akan membiarkan FAS ‘terkapai-kapai’ kerana menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan setiap persatuan sukan dibantu terutama bola sepak yang merupakan sukan nombor satu di Sarawak.

Katanya, walaupun jumlah geran yang diterima FAS adalah yang terbesar berbanding persatuan sukan lain di sini, namun jumlah itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan yang diterima pasukan-pasukan dari negeri lain.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru badan-badan korporat di Sarawak untuk tampil menghulurkan sokongan kepada FAS.

Beliau juga berharap pasukan Liga Premier pada tahun ini beroleh keputusan yang lebih baik kerana hanya dengan prestasi yang baik dan konsisten akan menarik para peminat terus hadir di stadium untuk memberikan sokongan.

Pada sidang media sama, Abdul Karim turut mengumumkan pemilihan Stadium Sarawak sebagai lokasi perlawanan Liga Premier pada tahun ini dengan harga tiket masih dikekalkan seperti pada tahun lepas.

Terdahulu, Presiden FAS Datuk Posa Majais dalam ucapannya menyeru sokongan dari pihak kerajaan negeri, badan korporat mahupun swasta dalam bentuk kewangan atau kerjasama strategik untuk membantu meringankan beban ditanggung persatuan setiap tahun.

Katanya, setiap tahun, FAS memerlukan dana sekurang-kurangnya RM12 juta untuk menampung kos pengurusan pasukan senior, Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan futsal lelaki dan wanita.

Selain itu katanya, dana besar juga diperlukan untuk menganjur kejohanan liga di peringkat tempatan yang menjadi landasan penting untuk mencungkil bakat-bakat berpotensi yang boleh diserap dalam pasukan Sarawak.

Hadir sama Menteri Muda Belia Dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol, Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sarawak Zulhairy Zaidel, Pengarah Urusan Lea Holding (M) Sdn Bhd Raymond Sim dan barisan exco FAS. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment