Friday, 25 January 2019

Sarawak akur keputusan Kerajaan Persekutuan


KUCHING: Sarawak menerima setiap keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung penyertaan atlet Israel pada Kejohanan Renang Para Dunia yang akan diadakan di sini pada Julai depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, larangan terhadap atlet negara terbabit memasuki negara ini adalah dasar kerajaan dan sebagai penganjur, Sarawak mematuhi dasar itu.

Beliau berkata, Sarawak hanya memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan serta lokasi kejohanan itu pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini dan bukannya terbabit dalam menentukan atlet yang bakal menyertai kejohanan itu.

Visit Sarawak Campaign
"Harus difahami, tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia kali ini adalah Malaysia dan ianya diadakan di Kuching. Larangan penyertaan perenang Israel adalah keputusan Kerajaan Persekutuan kerana sudah menjadi dasar kerajaan tidak menerima kehadiran pasukan dari negara itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) 2019, di sini, hari ini.

Justeru katanya, tumpuan sepenuhnya kini kepada penyediaan fasiliti dan lojistik bagi memastikan kejohanan bertaraf dunia itu dijalankan dengan lancar.

Kejohanan Renang Para Dunia di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di Petra Jaya itu menjadi platform penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan akan disertai perenang dari 70 negara.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menegaskan atlet Israel tidak dibenarkan menyertai kejohanan itu kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara itu. -BeritaHarian

No comments:

Post a Comment