Wednesday, 23 January 2019

Kuching tuan rumah kejohanan gusti lengan dunia ‘Top 8 Zloty Tur World Cup’

Januari 23, 2019

Abdul Karim menerima sijil pengiktirafan PAL kepada MyArms dari Igor (tiga kanan) sambil disaksikan (dari kiri) Stephen, Teng dan Kirill (kanan)

KUCHING: Sukan gusti lengan di Sarawak mencatat satu lagi kejayaan selepas dipilih sebagai salah satu lokasi penganjuran kejohanan berprestij, Top 8 Zloty Tur World Cup.

Menurut Presiden Kelab Gusti Lengan Premier 101 Stephen Kee, kejohanan bertaraf dunia itu akan dianjur serentak dengan Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101 Ke-4 dari 5 hingga 6 April 2019.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms) berkata dua lokasi sedang dipertimbangkan iaitu Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) atau salah sebuah hotel di sini. 

Visit Sarawak Campaign
“Top 8 Zloty Tur World Cup buat pertama kalinya dianjurkan di Asia dan kita merasa amat bangga kerana diberi pengiktirafan untuk menjadi tuan rumah…bukan China, bukan Jepun, bukan Korea. 

“Pada tahun lepas kita menganjurkan Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101 yang turut disaksikan Presiden Liga Gusti Lengan Profesional (PAL), Igor Mazurenko.

“Beliau telah menawarkan Kuching sebagai tuan rumah selepas menonton video tahun lepas dan amat kagum dengan penganjuran di sini di mana kita turut membawa Devon Larratt datang di sini selain budaya kita yang menarik,” katanya semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di Bangunan Baitul Makmur hari ini. 

Menurut beliau lagi, gabungan dua kejohanan besar itu bakal menghimpun kira-kira 3,000 peserta terdiri daripada ‘pullers’ profesional dan amatur dari beberapa negara termasuk peminat, petugas dan ahli keluarga peserta.

Tambahnya, Abdul Karim mahu pihaknya menyediakan kertas kerja secepat mungkin untuk dibentangkan dalam kabinet bagi mendapatkan kelulusan.

Untuk rekod, Top 8 Zloty Tur World Cup merupakan salah satu dari pertandingan tertinggi Unified Rating of Professional Armwrestling (URPA) anjuran Liga Gusti Lengan Profesional yang disertai jaguh-jaguh gusti lengan dari serata dunia.

Sementara itu, Abdul Karim memuji inisitiaf Kelab Gusti Lengan Premier 101 yang sentiasa aktif mempopularkan sukan itu di sini melalui penganjuran pelbagai kejohanan termasuk kejohanan antarabangsa.

“Persatuan yang terlibat mempopularkan sukan ini memainkan peranan dengan baik dengan membawa masuk ramai peserta dari serata dunia dalam kejohanan ini sekali gus akan mempopularkan sukan ini di Sarawak,” katanya.

Jelas Abdul Karim, sukan gusti lengan juga membantu merancakkan industri pelancongan sukan negeri dengan kehadiran ramai peserta dan pengunjung dari luar negara yang turut serta dalam kejohanan dunia dianjurkan di sini. 

Sekali gus, ia memberi peluang kepada Sarawak mengetengahkan perpaduan kaum dan keunikan negeri ini kepada pengunjung luar, katanya lagi.

Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Keempat dianjurkan oleh Kelab Gusti Lengan Premier 101 dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms) dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Edisi kali ini menawarkan kira-kira RM49,000 ($12,000) hadiah wang tunai dalam 10 kategori iaitu Lelaki Terbuka Lengan Kanan (75kg, 88kg, 95kg dan 95kg ke atas), Lelaki Terbuka Kidal (75kg, 90kg dan 90kg ke atas) dan Wanita Terbuka Lengan Kanan (60kg, 75kg dan 75kg ke atas).

Hadir sama Penasihat Kelab Gusti Lengan Premier 101 Dato Sri Teng Chi Lik, Igor, Pengurus PAL (Pemasaran & Komunikasi) Kirill Yakovler dan Presiden MyArms Mohd Zil Fadli. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment