Friday 18 August 2017

Belia dipelawa memeriahkan program TEDxKenyalang


UNTUK BELIA: Karim (kiri) menurunkan tandatangan dan ucapan kepada belia di atas papan yang disediakan sambil disaksikan Zaiwin selepas sidang media di Kuching, semalam.
KUCHING: Belia di negeri ini dipelawa sama-sama memeriahkan program TEDxKenyalang Ke-2 pada 25 dan 26 November akan datang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, penganjuran program seumpama itu memberi manfaat kepada para belia khasnya, di mana ia menjadi wadah untuk berkongsi pengalaman serta buah fikiran selain mendengar inspirasi yang turut akan dikongsikan oleh golongan profesional yang dijemput selaku penceramah.

“Kita sedia maklum bahawa senarai penceramah yang telah dimaklumkan oleh penganjur, semuanya daripada barisan individu yang telah berjaya.

“Maka saya yakin para peserta yang hadir pada program ini kelak akan berpeluang mendengar pengalaman dan tip kejayaan yang akan dikongsikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada rombongan penganjur TEDxKenyalang di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini semalam.

TEDxKenyalang itu merupakan anjuran bagi tahun kedua, selepas yang pertama dianjur pada tahun lalu dan berjaya menarik kira-kira 100 peserta.

Pada tahun ini, pihak penganjur menyasarkan penyertaan 500 peserta sepanjang dua hari itu.

Karim turut melahirkan harapan supaya penganjuran TEDxKenyalang akan terus berkembang dan akan mendapat sambutan memberangsangkan dari tahun ke tahun.

“Saya percaya program seumpama ini amat penting kepada para belia, terutama kepada mereka yang mahu memajukan diri dalam kehidupan.

“Untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dalam hidup, kadangkala kita perlu mendengar pengalaman dan pandangan daripada individu yang berjaya dalam hidup mereka,” jelasnya.

TED merupakan Teknologi, Pendidikan dan Rekaan (TED) sementara TEDx merupakan program yang bermatlamat untuk membawa masyarakat bersama-sama untuk berkongsi mengenai pengalaman TED.

Antara barisan penceramah yang akan berkongsi kejayaan dalam program TEDxKenyalang itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Talk Jason Lo, Profesor Mushtak Al-Atabi, Alvin Wee, Magdalene Muuk, Aziph Mustapha, Sada Borneo, Dr M. Abdullah Zaidell, Anthony Sebastian dan Nilam Sari.

Dalam pada itu, TEDxKenyalang turut membuka penyertaan kepada para penggemar dan pencinta muzik dalam Pertandingan Menulis Lirik Lagu bertemakan ‘Be The Best’.

Para pemenang berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.

Untuk maklumat lanjut mengenai TEDxKenyalang serta pertandingan itu, bolehlah menghantar e-mel ke alamat curator@tedxkenyalang.com atau hubungi talian 082-238636.

Turut hadir pada sidang media itu ialah CEO BCCK Eric van Piggelen, Pengerusi Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) merangkap Kurator TEDxKenyalang Zaiwin Kassim serta Pengarah Urusan Place Borneo Sdn Bhd Mona Manap. -UtusanBoneo
  

No comments:

Post a Comment