Thursday 17 August 2017

Karim ‘mempelawa’ Nazri ke Sarawak jelaskan pembahagian kutipan Cukai Pelancongan


KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ‘mempelawa’ Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Nazri Aziz datang ke Sarawak untuk menjelaskan mengenai pembahagian kutipan Cukai Pelancongan yang akan berkuat kuasa 1 September depan di seluruh negara.

Karim berkata demikian ketika diminta mengulas komen Nazri kelmarin bahawa Sabah dan Sarawak boleh menghubungi beliau daripada mengeluarkan kenyataan menerusi media sekiranya kurang jelas mengenai Cukai Pelancongan yang baharu diperkenalkan itu.

“Kita tidak memulakannya, kita hanya komen kenyataan beliau (Nazri). Dia sendiri yang mengatakan kutipan Cukai Pelancongan akan dibahagi sama rata kepada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Kita akur, mereka kata bahagi tiga, bahagi tigalah. Kemudian hari ini (semalam) beliau mengumumkan kutipan Cukai Pelancongan akan dibahagi kepada semua negeri.

“Mengapa sukar sangat beliau datang ke Sabah dan Sarawak untuk menerangkan kepada Ketua Menteri (Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg) atau negeri?” katanya pada sidang media Anugerah Sukan Negeri Sarawak 2015/2016 di Bangunan Baitul Makmur semalam.

Menurut Karim, ia bukan sesuatu yang datang di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan negeri sebaliknya ia persoalan mengenai hak Sarawak.

Beliau bagaimanapun menambah, Sarawak tetap kekal dengan pendirian menuntut 30 peratus perolehan daripada kutipan Cukai Pelancongan.

Tegasnya, permintaan untuk pembahagian perolehan itu telah dipersetujui oleh Sarawak dan Sabah dalam memorandum bersama kerajaan persekutuan.

Sarawak dan Sabah sebelum ini tidak bersetuju dengan pembahagian RM1 daripada setiap RM10 seperti yang diperuntukkan dalam peraturan cukai baharu itu.

Bermula 1 September depan, pelancong asing perlu membayar cukai RM10 bagi sewaan setiap bilik di hotel seluruh negara yang akan dikutip Jabatan Kastam Diraja Malaysia. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment