ASAJAYA: Pesta Ambal yang merupakan acara ikonik di daerah ini dirancang untuk dianjurkan pada skala yang lebih besar tahun depan.
Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pesta itu mampu mempertingkatkan ekonomi penduduk setempat.
“Pesta Ambal ini sudah menjadi sinonim bagi daerah Asajaya, justeru kita merancang menganjurkannya dengan skala yang lebih besar bagi menarik lebih ramai pengunjung khususnya orang luar datang ke sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmikan Pesta Ambal 2014 di pekarangan tempat letak kereta Bandar Baharu Asajaya di sini semalam.
Pesta yang berlangsung dua hari itu turut menyediakan ruang pameran produk berasaskan ambal, gerai jualan, demontrasi masakan ambal dan banyak lagi aktiviti menarik lain diadakan.
Malah, pesta itu turut disertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma kepada penduduk setempat.
Karim yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, makanan laut popular yang bermusim itu juga dapat menjana pendapatan pencari ambal kerana permintaan yang tinggi.