Monday, 19 May 2014

Masyarakat harus berfikiran terbuka dan tidak ekstrem


Negara berhadapan golongan sedemikian yang boleh gugat perpaduan, kesatuan rakyat, kata Karim

KUCHING: Masyarakat pada masa kini harus berfikiran terbuka dan tidak bersikap ekstrem dalam usaha kerajaan memastikan perpaduan dan kesefahaman rakyat terus dipelihara.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, negara kini berhadapan dengan cabaran daripada golongan berfikiran sempit dan terlalu ekstrem yang dilihat boleh mengganggu gugat perpaduan dan kesatuan rakyat.

“Cabaran yang kita hadapi pada masa kini amat besar, hal yang remeh menjadi isu besar, sebab itu kita perlu memastikan rakyat berfikiran terbuka dan tidak terlalu ekstrem terhadap sesuatu perkara agar keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Gemilang Siswa dan Forum Jati Diri 1Malaysia Peringkat Negeri di Institut Perguruan Batu Lintang di sini semalam.

Karim memberitahu, masyarakat perlu mempunyai pendirian sendiri dan menjalankan analisis yang lebih mendalam terhadap sesuatu perkara sebelum membuat keputusan.

“Malah, kita di Sarawak membangun dalam suasana dan budaya yang berlainan daripada Semenanjung Malaysia sebab itu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mendapat ilham 1Malaysia apabila beliau berkunjung ke negeri ini dan Sabah.

“Saya sendiri membesar dalam suasana majmuk dan mendapat pendidikan di sekolah mubaligh di mana saya belajar ilmu Bible (Al Kitab), hari ini kalau orang Islam disuruh belajar mengenai pengetahuan Bible akan menjadi isu besar,” tambahnya.

Jelasnya, tidak semestinya mempelajari ilmu agama lain akan menyebabkan seseorang itu bertukar agama kerana pengetahuan tentang agama lain itu penting bagi memastikan kesefahaman dan sensitiviti rakyat majmuk dapat dijaga.

“Sebab itulah banyak perkara hari ini kita lihat timbul ekoran daripada fikiran tidak terbuka dan dipolitikkan oleh mereka yang tidak rasional dan bersikap ekstrem,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Zaini Mohamad, moderator forum Rosman Zaini dan barisan panel khas Borhan Md Zain, Dr Zainal Abiddin Masleh dan Khairul Anuar Saimun.
  

No comments:

Post a Comment