Monday, 26 May 2014

Skuad karate bawa pulang satu perak, satu gangsa

May 26, 2014

“Kita hanya mensasarkan dua gangsa namun kita berjaya merangkul satu perak dan satu gangsa." Tuan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah

PERLIS: Skuad karate do pulang dengan dua pingat setelah berjaya menyambar perak menerusi acara kata berpasukan wanita pada hari terakhir di Dewan Sri Kayangan, Kolej Matrikulasi Perlis semalam.

Trio dari Sarawak diwakili Dayangku Nurdiayana Awangku Tangah, Nurjannah Tuwah dan Nadzirah Tuwah berpuas hati meraih perak setelah tewas di tangan atlet Pulau Pinang pada perlawanan akhir.

Pulau Pinang yang membariskan atlet kebangsaan Celine, Khaw Yee Voon dan Zoey menang dengan kiraan mata 5-0.

Sabah pula berpuas hati meraih gangsa setelah menundukkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada peringkat awal, Sarawak menewaskan Sabah dan Negeri Sembilan pada saingan suku akhir.

Mereka melangkah ke final setelah menundukkan Wilayah Persekutuan di peringkat separuh akhir.

Sekalipun sekadar meraih perak, ia tetap kejayaan membanggakan buat atletatlet kata wanita kerana kali pertama Sarawak melangkah ke final dalam kategori tersebut.

Menteri Muda Pembangunan Belia, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang kebetulan menyaksikan perlawanan akhir itu semalam berkata skuad karate do Sarawak berjaya mencapai sasaran pada temasya kali ini.

“Kita hanya mensasarkan dua gangsa namun kita berjaya merangkul satu perak dan satu gangsa,” katanya yang juga Penolong Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak, di sini semalam.

Menurutnya, secara keseluruhan ia tetap satu keputusan yang membanggakan memandangkan atlet kita berdepan dengan pencabar kebangsaan yang diketahui memiliki kemahiran yang jauh lebih baik.

Presiden Persatuan Karate Negeri Sarawak (PKNS), Nurliza Talhah pula menganggap kejayaan atlet-atlet karate do Sarawak di luar dugaan kerana mereka mampu berdepan atlet kebangsaan yang jauh lebih berpengalaman dan berkemahiran tinggi.

“Tahniah kepada atletatlet karate do kita kerana berjaya menampilkan aksi terbaik sepanjang kejohanan SUKMA kali ini.

“Ini merupakan permulaan baik bagi atlet-atlet karate kita dan saya percaya dengan persediaan yang mantap mereka mampu mengorak langkah lebih jauh,” katanya.

Bagaimanapun, Sarawak tidak bernasib baik dalam acara kata lelaki setelah mudah diketepikan oleh atlet Pulau Pinang pada pusingan awal di sebelah pagi.

Kelmarin, Sarawak menggondol gangsa menerusi Kaartic Chiramjeevi yang bertanding dalam acara kumite lelaki bawah 55kg.
   

No comments:

Post a Comment