Wednesday, 28 May 2014

Belasungkawa Sultan Azlan : Selamat Bersemadi, Tuanku Adil Penegak Daulat

May 28, 2014


Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahulah telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi meninggalkan satu legasi sejarah kesultanan Melayu yang agak luar biasa.

Dalam sejarah kesultanan Melayu pasca hari merdeka, baginda telah meletak satu tanda aras yang agak tinggi. Beliau merupakan satu-satunya Sultan yang mencapai tahap tertinggi dalam bidang pentadbiran negara sebelum dilantik menjadi Sultan Perak.

Sebaik pulang dari luar negara, baginda telah berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan Perak sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri. Kemudiannya baginda menyertai perkhidmatan kehakiman negara sebagai Majistret, penasihat undang-undang kerajaan negeri, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Persekutuan. Kemuncak kerjaya kehakiman beliau ialah pada Disember 1982, apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara termuda dalam sejarah Malaysia.

Namun kerjaya perundangan baginda tidak kekal lama apabila takdir menentukan sebaliknya. Baginda mungkin menjadi Ketua Hakim Negara paling lama berkhidmat jika tidak kerana tindakan Raja Baharom menolak perlantikan sebagai raja Muda Perak.

Penolakan tersebut menyebabkan pakciknya, Sultan Idris Almutawakkil Alallahi Shah II melantik baginda sebagai Raja Muda pada 1 Julai 1983.

Takdir sekali lagi memainkan peranan besar dalam hidup Sultan Azlan apabila enam bulan kmeudian Sultan Idris mangkat.

Pada 3 Februari 1984, Sultan Idris mangkat dan pengumuman dibuat bahawa Sultan Azlan sebagai penggantinya. Sultan Azlan ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Perak ke 34 pada 9 Disember 1984 bersama-sama dengan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun.
   
Pada tahun 26 April 1989, baginda Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Yang Di Pertuan Agong ke-9 dan sekaligus melengkapkan sistem penggiliran Yang Di Pertuan Agong. Baginda menamatkan tempoh pemerintahannya pada 25 April 1994.

Baginda akan diingati sebagai seorang tokoh undang-undang yang luar biasa dan seorang sultan yang dedikasi.

Antara titah baginda yang sangat mendalam ialah,

“Mahkota’ akan hanya mendapat tempat di muzium kalau institusi raja terkandas dalam menjalankan tugasnya yang sebenar.”

Dalam bidang akademik, dedikasi baginda sebagai Canselor Universiti Malaysia merupakan satu kisah lagenda yang tidak mungkin dapat ditandingi. Baginda antara lain membantu menjayakan inisiatif Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya bagi mengadakan Syarahan Undang-undang” bertaraf dunia.

The Sultan Azlan Shah Law Lecture series has been organised by the Faculty of Law since 1986 in recognition of His Royal Highness’ exceptional contribution to the development of Malaysian law and legal education as well as his tireless support of the faculty.

Syarahan Perdana Undang-Undang Sultan Azlan Shah merupakan antara syarahan akademik yang bertaraf dunia di negara ini. Kali pertama diperkenalkan pada 1986 menampilkan Profesor Professor W.R. Cornish dari London School of Economics bertajuk “The Colour of Office”. Syarahan ini diadakan setiap tahun menampilkan tokoh-tokoh akademik terkemuka dunia.

Selain itu, baginda juga merupakan peminat dan tokoh pembangunan sukan hoki negara. Sejak muda beliau menjawat beberapa jawatan dalam Persekutuan Hoki Malaysia sehinggalah dilantik menjadi Presiden kemudiannya.

Semasa menjadi Presiden, baginda telah mengusahakan pembangunan beberapa stadium hoki astroturf bertaraf dunia di negara ini, memimpin pasukan negara layak ke beberapa Piala Dunia dan Sukan Olimpik, menjadi hos Hoki Piala Dunia.

Namun yang paling kekal dalam ingatan tentulah kesungguhan baginda melobi agar Hoki dimasukkan dalam acara sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur. Sejak itu, Hoki merupakan acara tetap temasya sukan tersebut.

Sudah tentu sumbangan beliau terlalu banyak untuk diungkapkan dalam kesempatan yang terhad ini. Hari ini, esok dan minggu-minggu akan datang, kita akan berhadapan catatan dan coretan mengenai sejarah gemilang baginda.

Namun sumbangan terakhir baginda dan bersejarah ialah memastikan pertukaran kerajaan negeri Perak yang hilang majoriti pada 2009 berjalan dengan lancar dan mengikut undang-undang negara.

Mungkin ada pihak tidak akan berpuas hati dengan keputusan dan titah baginda mengizinkan pertukaran kerajaan DAP kepada Barisan Nasional, namun tiada siapa boleh mempertikaikan kearifan beliau mengenai undang-undang negara; dan kedudukan baginda sebagai payung Islam dan Melayu dalam menentukan pihak yang berhak menjadi mengambil alih pentadbiran negeri Perak.

Seperti titah baginda,

“Selagi kerajaan dan mana-mana pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undang-undang dan dilaksanakan secara telus dan terbuka, tidak ada mahkamah yang boleh menyalahkan kerajaan.”

Demikianlah baginda menjalankan tugas-tugas sebagai seorang Sultan Perak dan Yang Di Pertuan Agong Malaysia. Kita boleh berbeza pendapat, tapi kita tidak mungkin dapat mencabar kesahan keputusan baginda.

Selamat bersemadi Tuanku! Semoga Allah mencucuri rahmat dan rahim-Nya ke atas mu. Al-Fatihah!


-Alumni UNIVERSITI MALAYA-

- Sumber : MyKMU.net

No comments:

Post a Comment