Wednesday, 8 January 2014

Larangan pasang saluran air hujan tidak rasional


Cadangan ia dijadikan peraturan baharu diutarakan dalam usaha membanteras pembiakan aedes

KUCHING: Cadangan supaya satu peraturan baharu digubal bagi melarang saluran air hujan dipasang pada bumbung rumah dalam usaha membanteras pembiakan aedes, disifatkan tidak rasional.

Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, malahan setiap rumah yang dibina sememangnya dilengkapi dengan saluran air hujan pada bumbung bagi membolehkan pengaliran air dengan betul ke longkang.

“Aedes tidak mungkin membiak dalam saluran air hujan berkenaan, melainkan jika ia rosak dan setakat ini ia tidak menjadi isu dalam industri perumahan Sarawak.

“Saya merasakan tidak ada keperluan untuk peraturan baharu bagi perkara berkenaan,” katanya melalui sistem pesanan ringkas kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Abdul Karim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar nasional pada 6 Januari lepas, yang menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan akan mengemukakan cadangan supaya satu peraturan baharu digubal bagi melarang saluran air hujan dipasang pada bumbung rumah dalam usaha membanteras pembiakan aedes.

Tambah Abdul Karim lagi, malah Malaysia terletak berhampiran Khatulistiwa dan mengalami taburan hujan agak lebat sepanjang tahun.

“Satu kajian yang mendalam perlu dilakukan dan rujukan kepada mereka dalam industri pembinaan perlu diberikan sebelum melakukan pengubalan peraturan baharu itu.

“Saya secara peribadi merasakan tidak ada keperluan untuk menghapuskan saluran air hujan pada bumbung rumah,” tegasnya.

Beliau mempersoalkan bagaimana timbulnya cadangan berkenaan dengan melarang saluran air hujan dipasang pada bumbung rumah hanya kerana ia boleh mengekalkan air yang menjadi tempat pembiakan aedes.

Dalam pada itu Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dipetika sebagai berkata, cadangan akan dikemukakan kepada Kementerian Kesejahteraan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu kerana selain takungan air di rumah, saluran air hujan juga boleh menjadi tempat pembiakan aedes jika tidak diselenggara.

“Walaupun air tidak bertakung dalam saluran itu, jika ada lima sentimeter (air) pun cukup untuk jentik-jentik membiak.

“Eloklah buang saluran air hujan itu kerana ia akan jadi tempat pembiakan nyamuk.

“Perkara ini tidak dapat diselesaikan kecuali ada peraturan mewajibkan semua saluran air hujan dibuang,” katanya.

No comments:

Post a Comment