Friday, 17 January 2014

1BFF Imagine Retrowalk 2014 bakal diiktiraf dalam rekod dunia

Januari 17, 2014

Abdul Karim Rahman Hamzah menunjukkan isyarat bagus selepas perasmian program 1BFF Imagine Retrowalk 2014 di Kuching, semalam. Turut hadir, Talip Zulpilip (dua dari kiri), Abang Abdul Wahab Abang Julai (kiri) serta Athanasius Audie Chua (kanan).
KUCHING 16 Jan. - Acara berjalan kaki mengundur, 1BFF Imagine Retrowalk 2014 di bandar raya ini pada 16 Oktober depan bakal diiktiraf dalam rekod dunia.

Acara berjalan kaki mengundur sejauh 1 kilometer itu akan bermula di pusat membeli-belah Plaza Merdeka di sini.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Guinness World Record bersetuju untuk mengiktiraf program itu sekiranya penganjur berjaya memecahkan rekod terdahulu dengan mengumpul lebih 1,000 peserta.

Katanya, rekod berjalan kaki mengundur kini dipegang oleh China yang dicatat beberapa tahun lalu.

"Meskipun program ini hanya acara berjalan beramai-ramai namun bukanlah mudah kerana peserta perlu berjalan dalam keadaan mengundur sejauh 1 kilometer.

"Saya juga memuji inisiatif IBFF ImagineRetrowalk kerana berani tampil dengan acara yang berpotensi memecah rekod dunia dan saya yakin rakyat Sarawak akan turun beramai-ramai menyertai program ini," katanya sewaktu majlis Pelancaran Program 1BFF Imagine Retrowalk 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Muda Pelancongan negeri, Datuk Talip Zulpilip; Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai dan wakil Guinness World Record, Athanasius Audie Chua.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, kerajaan negeri sangat teruja menyaksikan rekod dunia itu dicipta dengan jayanya kerana bukan sahaja dapat mengharumkan nama negeri ini bahkan Malaysia.

Orang ramai yang berminat menyertai acara itu boleh mendaftar di kaunter 1BFF Imagine Retrowalk 2014 di Plaza Merdeka bermula 23 Januari hingga 15 Oktober ini.
  

No comments:

Post a Comment