Thursday, 2 January 2014

Lahirkan pemandu yang berkualiti, kata Karim

January 2, 2014

RASMI: Abdul Karim (tengah) memotong reben sebagai tanda perasmian Pusat Sehenti IMKG sambil disaksikan oleh Pengarah Urusan IMKG Henry Jinep dan Setiausaha Majlis Daerah Bau Jitien Ritop serta kakitangan IMKG, semalam.
Institut memandu di seluruh negeri ini disaran menjadi institut berintegriti, berhemah serta bertanggungjawab

KUCHING: Institut memandu di seluruh negeri ini disaran menjadi institut yang berintegriti, berhemah serta bertanggungjawab dalam melahirkan pemandu yang berkualiti.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia menjadi tanggungjawab pendidik institut memandu untuk memberikan pendidikan terbaik kepada pelajar memandu.

“Saya percaya pemanduan pengguna jalan raya berhubung rapat dengan pendidikan yang diberikan oleh pendidik di institut memandu.

“Pendidik tidak harus hanya memastikan pelajarnya lulus ujian memandu tetapi juga berkelayakan untuk memegang lesen memandu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, pemandu kenderaan itu sen-diri seharusnya mempunyai perasaan tanggungjawab terhadap keluarga mahupun pengguna jalan raya yang lain.

“Apabila seseorang itu memandu dan tahu akan tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing serta pengguna jalan raya yang lain, mereka akan sentiasa berhemah serta berhati-hati ketika memandu di jalan raya.

“Dengan itu, baharulah kita dapat menggunakan jalan raya dengan baik seiring dengan perasaan tanggungjawab yang kita semua semai dalam diri masing-masing,” katanya.
   
Selain itu, pemandu juga dinasihati agar mempunyai lesen pemanduan selaras dengan jenis kenderaan yang dipandu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pusat Sehenti Institut Memandu Kota Gading (IMKG) di Pusat Komersil MJC Batu Kawah, dekat sini, semalam.

IMKG mula beroperasi di Bau dan ditubuhkan ber-tujuan untuk memberi pendidikan memandu kepada masyarakat setempat di sam-ping mengurangkan kadar pemandu serta penunggang tanpa lesen.

Ia menawarkan perkhidmatan pengendalian lesen bagi kelas B2 dan kelas D oleh tenaga pengajar yang mahir selain mempunyai litar memandu yang diluluskan mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tujuan latihan serta ujian memandu.

IMKG telah melahirkan 1,190 pelajar yang lulus mendapatkan lesen memandu serta menunggang motosikal sejak dua tahun penubuhannya.

Orang ramai yang berminat mengambil latihan serta ujian memandu di IMKG bolehlah pergi ke Pusat Sehenti IMKG di Pusat Komersil MJC Batu Kawah atau hubungi talian 082-576276 atau e-mel ke alamat imkgsb@gmail.com untuk sebarang pertanyaan lanjut.
  

No comments:

Post a Comment