Karim mahu atlet Sarawak terus fokus, tidak cetus masalah menjelang Sukma XV
KUCHING: Timbalan Ketua Kontinjen I Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa pengurus dan jurulatih kontinjen agar sentiasa memantau prestasi serta masalah yang dihadapi atlet dari masa ke semasa.
Ia adalah penting bagi memastikan para atlet sentiasa fokus dalam latihan dan tidak menimbulkan sebarang masalah menjelang Sukma XV yang tinggal enam hari lagi sebelum membuka tirainya.
“Pengurus dan jurulatih setiap pasukan harus sentiasa mengawasi masalah yang dihadapi oleh para atlet di dalam kem latihan,” jelas Abdul Karim semasa majlis pembukaan kem kontinjen Sukma di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) semalam.
“Selain itu, mereka juga harus memantau masalah keluarga yang dihadapi oleh setiap atlet bagi memastikan mereka tidak hilang tumpuan.”
“Kita juga mahu para atlet mengekalkan disiplin yang tinggi sebelum dan semasa kejohanan ini berlangsung bagi menjaga nama baik Sarawak,” jelas Abdul Karim lagi.
Abdul Karim yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia turut menasihati para atlet agar tidak hanya memikirkan wang insentif yang bakal diterima jika meraih sebarang pingat.
Sebaliknya, mereka harus memikirkan soal mengharumkan nama negeri dan yang paling penting membawa balik kejuaraan di sini.
“Semua atlet telah berlatih dengan gigih dan cukup bersedia untuk kejohanan ini. Saya yakin, jika anda semua memberikan yang terbaik dan percaya pada keupayaan diri sendiri, kejuaraan pasti dalam genggaman kita kali ini,” jelas Abdul Karim dengan yakin.
Kontinjen Sarawak mengadakan latihan berpusat selama seminggu di Unimas sebelum berlepas secara berperingkat ke Kuantan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah ADUN Balai Ringin merangkap Penolong Ketua Kontinjen Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial merangkap Timbalan Ketua Kontinjen III Affandi Keli, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Francis Nyurang Ding dan Timbalan Pengarah MSNS, Frederick Tan.
No comments:
Post a Comment