Wednesday, 25 July 2012

Keputusan mahkamah bukti kehakiman M’sia telus, bebas


KUCHING: Pembangkang yang sering mendakwa mahkamah di Malaysia sebagai tidak adil dan menerima campur tangan kerajaan kini wajar menarik balik prasangka buruk itu.

Ini berikutan perkembangan terbaharu, apabila Mahkamah Tinggi semalam membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 1 Julai tahun lepas yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Muda Pembangunan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keputusan mahkamah itu menunjukkan badan kehakiman di Malaysia adalah telus dan bebas daripada pengaruh pihak lain.

“Pembangkang terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim selalu mengutuk dan menuduh mahkamah Malaysia ikut telunjuk pemimpin BN.

“Tetapi apabila mereka menang atau keputusan mahkamah menyebelahi mereka, mereka senyap,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Justeru beliau berharap rakyat dapat menilai sikap pembangkang dengan mendalam.

“Kita berharap rakyat dapat melihat kerenah pembangkang yang hipokrit dan hanya tahu memburuk-burukkan kerajaan,” katanya.


Hakim Datuk Rohana Yusof menerusi laporan Bernama semalam berkata beliau membenarkan petisyen 14 anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, termasuk Datuk S. Ambiga, untuk membatalkan perintah menteri itu berdasarkan Bersih 2.0 terdiri daripada gabungan badan berdaftar.


Dalam penghakiman setebal 30 muka surat, Rohana memutuskan keputusan mengisytiharkan Bersih 2.0 sebuah pertubuhan haram dibuat tanpa mengambil kira fakta berkaitan atau mengambil kira fakta yang tidak relevan.

“Pada pendapat saya, keputusan itu dicemari kerana dibuat secara tidak rasional,” kata Rohana.
  

No comments:

Post a Comment