Monday, 9 July 2012

Renang sumbang sebutir emas

July 9, 2012

“Saya cukup gembira dengan permulaan kontinjen kita di kolam renang. Ia adalah permulaan yang positif dan cukup memuaskan." -Tuan Haji Abdul Karim Rahman Hamzah

EMAS RENANG PERTAMA: Erika Kong sedang beraksi dalam acara akhir 400 meter rampaian individu wanita di Kuantan semalam.
KUANTAN: Erika Kong menepati ramalan apabila menyumbang sebutir pingat emas menerusi acara 400 meter rampaian individu wanita di Kolam Renang Wisma Belia di sini, petang semalam (Ahad).

Ia merupakan acara yang paling diminati Erika yang merupakan perenang kebangsaan dan beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk meninggal jauh pencabar-pencabar lain.

Rakan sepasukan Erika, Angela Chieng bagaimanapun hanya memungut pingat gangsa dalam acara 200 meter gaya bebas wanita.

Dalam acara 200 meter gaya bebas lelaki, Welson Sin meraih pingat perak.

Carlysle Chan menambah pungutan gangsa Sarawak dengan dalam acara terjuan 3 meter papan anjal.

Kejayaan Sarawak di arena akuatik mendapat pujian daripada Timbalan Ketua Kontinjen 1 Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Saya cukup gembira dengan permulaan kontinjen kita di kolam renang. Ia adalah permulaan yang positif dan cukup memuaskan.
   
“Harapan saya agar perenang kita mengekalkan prestasi terbaik tersebut dan menambah pungutan pingat,” jelas beliau ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Ketua kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berpuas hati dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh kontinjen Sarawak pada temasya ke-15 setakat ini.

Kejayaan mengutip tujuh pingat emas, dua perak dan tujuh gangsa sekaligus berada di tempat kedua adalah permulaan yang cukup baik bagi kontinjen negeri yang dibarisi oleh lebih 376 atlet.

“Pencapaian atlet kita setakat ini sangat memuaskan lebih-lebih dalam acara taekwondo, basikal dan renang yang telah menyumbang tujuh emas kepada kontinjen negeri,” jelas Lee ketika sidang media di Zenith Hotel semalam.

“Kita muncul selaku juara keseluruhan dalam acara taekwondo dengan memungut lapan pingat selain melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu dua pingat emas.

Selain itu, kontinjen basikal kita juga muncul pemenang pingat emas pertama dalam acara tersebut.”

Lee turut menyeru agar atlet-atlet lain mencontohi pencapaian yang telah ditunjukkan oleh skuad taekwondo dan basikal selain berharap kontinjen negeri dapat menambah pungutan pingat emas.

Sementara itu, dalam acara badminton, peluang Sarawak kembali cerah setelah membenam Melaka 4-1 dalam perlawanan di Stadium Utama Sukpa.

Skuad bola tampar lelaki turut mencatat kemenangan 3-2 dalam perlawanan menentang Johor di Dewan SRJK.

Namun skuad wanita sedikit kecewa setelah tunduk dengan lawan yang sama 3-2 di SMK Tanah Putih.

Dalam acara boling padang berempat lelaki, kontinjen Sarawak tumpas 7-13 di tangan Selangor. Sarawak turut kecewa dalam acara individu lelaki di tangan Terengganu dengan 15-16.

Walau bagaimanapun, Sarawak kembali dalam acara individu lelaki dengan menumpaskan Perlis 21-12 dan berempat lelaki dengan menundukkan Sabah 12-8.

Acara bertiga wanita turut berpihak kepada Sarawak dengan melakat kemenangan ke atas Melaka 19-6.

Semua acara akan bersambung hari ini (Isnin).
    

No comments:

Post a Comment