Thursday 2 May 2013

34 ahli PKR Sarawak keluar parti, sokong BN


KUCHING, Rabu — Seramai 34 ahli PKR cawangan Kampung Sejingkat, Jalan Bako di sini, yang hilang keyakinan terhadap parti itu mengisytiharkan keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN), hari ini.

Ketua Cawangan PKR Kampung Sejingkat, Wan Razali Tuanku Hamid berkata, mereka kecewa dengan kepimpinan parti lalu mengisytiharkan keluar parti kerana mendakwa tidak yakin dengan perjuangan PKR bersama pakatan pembangkang dalam memperjuangkan rakyat di negeri ini.


KEMBALI PADA BN ... Karim menerima borang keahlian menyertai PBB daripada bekas Ketua Cawangan
PKR Kampung Sejingkat, Wan Razali Tuanku Hamid sambil disaksikan oleh Dr. Hazland dan Wan Hamzah
Wan Paiee (paling kiri) di Kampung Sejingkat di Kuching, semalam.
Borang keahlian menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut diserahkan kepada Menteri Muda Perumahan, Haji Abdul Karim Rahman Hamzah sambil disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr. Hazland Abang Hipni serta Haji Wan Hamzah Wan Paiee yang mewakili calon Parlimen Santubong.

“Ahli PKR cawangan Kampung Sejingkat mengambil tindakan keluar parti serta membubar bilik gerakan PKR Kampung Sejingkat selepas hilang kepercayaan terhadap parti itu, selain berikrar akan menyokong calon BN Parlimen Santubong, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Kami akan membantu BN terus berkuasa di kawasan Parlimen Santubong. Tindakan keluar parti juga adalah demi mengekalkan semangat perpaduan masyarakat terutama di Kampung Sejingkat,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Kampung Sejingkat.

Pendapat Wan Razali itu turut disokong oleh timbalan beliau, Wan Hamzah Wan Mahbar yang mendakwa memperjuangkan PKR sejak dari arwah bapanya.

“Sekarang kami sedar bahawa semua perancangan PKR tidak dilaksanakan seperti hanya janji kosong, berbeza dengan pendekatan BN yang terbukti mampu dilaksana dengan jaya,” tegasnya.


Sementara itu, Karim menyifatkan tindakan ahli-ahli PKR tersebut yang keluar parti dan menyertai PBB merupakan hari yang sangat bersejarah.

“Rakyat seharusnya bijak menilai taktik penipuan manifesto pembangkang yang terbukti tidak memberi manfaat kepada rakyat Sarawak,” katanya sambil berharap tindakan ahli PKR cawangan Sejingkat itu diikuti oleh ahli parti pembangkang lain di negeri ini.

Terdahulu, Karim turut mengumumkan pelan pembangunan bandar baharu di kawasan Sejingkat seluas 300 ekar.

“Kawasan pembangunan bandar baharu ini turut melibatkan pembinaan pusat Islam, bangunan komersial, kompleks sukan, banglo serta beberapa kemudahan lain. Bagaimanapun, maklumat terperinci berhubung pembangunan ini akan dibentangkan oleh kementerian,” tambahnya.

Dalam pada itu, suasana majlis sayu seketika apabila Wan Hamzah Wan Paiee yang juga anak jati kampung itu mengimbas kembali keperitan yang pernah dilaluinya serta penduduk Kampung Sejingkat.

“Kesengsaraan yang pernah anak yatim ini (beliau sendiri) akan menjadi penyuntik semangat saya untuk terus berbakti dan memastikan kemajuan kampung ini terus terbela di bawah BN.

“Justeru, perpaduan sangat penting kerana perpecahan yang berlaku hanya akan menjadikan kita lemah seteruskan diperkotak-katik oleh pihak lain,” tegasnya.

Dr. Hazland pula menambah, peruntukan sejumlah RM620,000 diluluskan oleh kerajaan di Kampung Sejingkat pada 2012.

“Sejumlah RM13 juta peruntukan disalurkan di kawasan Parlimen Santubong dengan RM6 juta untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut,” tambahnya.
   

No comments:

Post a Comment