PADAWAN: Rakyat harus memilih wakil yang boleh dipercayai dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Menteri Muda Perumahan Haji Abdul Karim Hamzah berkata pilihan raya adalah bagi menentukan wakil rakyat supaya menjadi suara mereka dalam parlimen dan dewan rakyat.
"Oleh itu rakyat harus bijak memilih supaya wakil yang dipilih dapat membawa suara seterusnya membantu mereka untuk terus menikmati segala pelaksanaan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Surat Kelulusan Hak Milik Tanah dan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Skim Penempatan Semula Kampung Mambong di sini petang tadi.
Menurut beliau rakyat akan rugi sekiranya memilih calon yang tidak boleh melakukan apa-apa untuk membantu mereka.
Akibatnya, tambah beliau rakyat tidak dapat menikmati segala bentuk pelaksanaan pembangunan oleh kerajaan kerana wakil mereka gagal menyampaikan suara masyarakat diwakili.
Abdul Karim yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) berkata masyarakat Mambong sepatutnya merasa bangga kerana calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) merupakan anak jati Mambong.
Di samping itu, katanya calon Dato Sri Dr James Dawos Mamit mempunyai jawatan penting dalam parlimen iaitu Timbalan Menteri Pelancongan.
"Ini akan memudahkan beliau (Dawos) menyampaikan suara rakyat Mambong dalam parlimen dan sudah pasti banyak rancangan pembangunan dapat dijalankan," katanya.
Dalam pada itu Abdul Karim turut melahirkan rasa terima kasih kepada penerima surat hak milik tanah kerana sentiasa sabar menunggu kerajaan untuk mengesahkan pemilikan ke atas tanah masing-masing.
"Kerajaan tahu penduduk terbabit sudah lama menunggu surat itu tetapi tidak bermakna enggan meluluskannya," katanya. Bagaimanapun, katanya lagi kerajaan tetap menunaikan janji kepada mereka yang terbabit untuk menyerahkan surat hak milik tanah itu walaupun berlaku kelewatan.
Seramai 19 orang penduduk Kampung Mambong menerima surat tawaran hak milik tanah masing-masing dan turut diberi kelepasan bayaran premium oleh kerajaan.
No comments:
Post a Comment