USAHA mencungkil bakat pemain perlu bermula di peringkat akar umbi.
Pendekatan tersebut amat bersesuaian sebagai jejantas kearah memperkasa program pembangunan sukan bola sepak setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Asajaya, Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah yang tepat dilaksanakan Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) menerusi satu lagi acara berprestij Kejohanan Bola Sepak Juara-Juara Piala Eastdeal Samarahan 2013 yang melabuhkan tirainya di Padang Bola sepak Kampung Sambir, Asajaya hujung minggu lalu.
Menurut Karim, beliau dapat melihat hasilnya menerusi aktiviti yang merupakan salah satu kejohanan teras dalam kalendar badan induk berkenaan (PBBS) musim ini dengan kebanjiran ramai pemain berbakat.
Sekali gus akan memberi ruang mahupun peluang kepada pemain terlibat dalam mengetengahkan bakat yang ada. “ Satu pujian harus diberikan kepada PBBS atas usaha murni mereka mengelolakan kejohanan tersebut yang secara tidak langsung dapat membuka peluang kepada pemain terlibat untuk terus mengetengahkan bakat mereka,” kata Karim dalam ucapan ringkasnya.
Beliau sesudah itu diberi penghormatan menyempurnakan majlis penutupan rasmi kejohanan terbabit.
Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi, Presiden dan Timbalan Presiden Persatuan Bola sepak Bahagian Kuching (PBBS), Ir Haidel Heli dan Ir Haji Ismawi Muhammad, Pemangku Pegawai Daerah Asajaya, Zulkifli Yusuf, Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.14 Asajaya, Encik Buang Bolhassan, Ketua Pemuda PBB Ranting Kampung Tanjung Parang, Haji Mohd. Iskana Bujang, Penasihat Dewan Usahawan Bumpiutera Sarawak (DUBS) Cawangan Samarahan, Abang Ideris Abang Haji Jamali serta ketua-ketua masyarakat mewakili kampung sekitar kawasan terbabit.
Dalam pada itu, Karim berharap kejohanan terbabit dapat diteruskan pelaksanaannya pada masa akan datang kerana yakin dapat menjadikan daerah kecil Asajaya sebagai penyumbang kelahiran pemain bola sepak berprestasi tinggi.
Sementara itu, Presiden PBBS, Ir Haidel Heli melahir rasa terharu atas sokongan diberikan semua pihak yang sekali gus dilihat penyumbang kejayaan penganjuran kejohanan itu.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak lebih-lebih lagi penduduk Kampung Sambir, Asajaya atas sokongan diberikan untuk menjadikan gelanggang keramat itu sebagai pentas perlawanan akhir,” jelas Ir Haidel.
Katanya, nyata sokongan diberikan sepanjang berlangsung kejohanan itu penyumbang kejayaan penganjurannya dan besar keinginan sokongan tersebut berkekalan.
Melabuh saingan bagi kejohanan itu tempoh hari menyaksikan kehebatan jagoan terbilang – Team Boss untuk bergelar juara.
Barisan kendalian juragan berpengalaman, Jalek Jaafar itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum mencetak sejarah menerusi kemenangan tipis (1-0) keatas wakil dari daerah kecil Serian, KBLH Gedong.
Gol tunggal perlawanan Team Boss dijaringka pe-nyerang sensasi, Yusri Hafizan Wahap menerusi rembatan ken-cang depan pintu gol minit ke-35.
Kejayaan itu membolehkan pemain dan pegawai pasukan terbabit membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala beserta pingat. Manakala bagi pasukan KBLH Gedong yang seakan kecewa dengan kekalahan tipis itu tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya turut menerima wang tunai RM1,500, piala dan pingat.
Sementara itu, pasukan KPRS (Kampung Empila) muncul pemenang tempat ketiga dan turut membawa pulang hadiah wang tunai RM750, piala beserta pingat setelah mudah mengenepikan Kanda F.C ditempat keempat dengan jaringan untuk menerima wang tunai RM400, piala dan pingat.
No comments:
Post a Comment