Tuesday, 31 October 2017

Regata Sarawak 2017 dari 10 hingga 19 November ini


TERIMA KASIH: Abdul Karim menyaksikan penyerahan tajaan daripada Petronas kepada Residen Bahagian Kuching, Shukarmin Chasemon sambil disaksikan tetamu lain di Kuching, semalam.
KUCHING: Temasya sukan air popular di negeri ini, Regata Sarawak 2017 kembali lagi dengan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 untuk Raja Sungai.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata temasya sukan air itu bermula dari 10 hingga 19 November ini dengan pelbagai acara menarik disediakan.

Beliau menjelaskan, antara acara menjadi tumpuan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa bermula dari 10 hingga 12 November menyaksikan 21 pasukan telah menghantar penyertaan.

“Bagi temasya popular Regata Sarawak berlangsung dari 17 hingga 19 November ini dengan keseluruhan wang tunai berjumlah RM240,000 ditawarkan kepada pememang- pemenang setiap kategori dipertandingkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat akhir jawatankuasa penganjur dan penaja Regata Sarawak 2017 di sini semalam.

Mengulas lanjut penyertaan acara Perlumbaaan Perahu Naga Antarabangsa, Abdul Karim memberitahu penganjuran kali ini berjaya mencatatkan penyertaan luar biasa dari negara luar.

“Kita mendapat penyertaan pasukan dari Australia, Brunei Darussalam, China, Hong Kong, India, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand dan ini merupakan penyertaan paling ramai berbanding sebelum ini,” jelasnya.

Di samping itu, beliau memberitahu selain dua acara utama tersebut pelbagai pengisian lain sepanjang temasya sukan air itu disediakan.

“Kita ada Festival Jualan Makanan, Jualan Kraf Tangan, pertandingan karaoke, Regata Sarawak Idol, persembahan buskers dan banyak lagi.

“Majlis perasmian bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada 11 November ini bagi Perahu Naga manakala Regata Sarawak pada 18 November,” katanya.

Menurutnya, pada 11 November sebelah malamnya Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijadualkan menyempurnakan perasmian Jambatan Emas di Tebingan Kuching.

“Justeru, kita mempelawa seluruh rakyat Sarawak datang memeriahkan temasya sukan air, Regata Sarawak pada tahun ini,” katanya.

Setakat ini, Regata Sarawak 2017 menarik sumbangan penajaan sejumlah RM1 juta daripada pelbagai sektor kerajaan dan swasta.

Antaranya Petronas, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Petra Energy Berhad, Cahaya Mata Sarawak, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), Samling Group of Companie dan JX Nippon. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment