Thursday 17 November 2016

Kontinjen Sarawak mampu mencabar Kejohanan Wushu KPM, kata Abdul Karim

November 17, 2016

KUCHING: Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah optimis kontinjen wushu Sarawak mampu memberikan cabaran pada Kejohanan Wushu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang akan berlangsung di Han Chiang High School, Pulau Pinang dari 18 hingga 20 November ini.

“Berdasarkan prestasi semasa atlet, saya yakin mereka mampu membawa banyak keputusan positif untuk Sarawak.

“Mereka masih muda, penuh keyakinan dan bersikap profesional dengan persembahan,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Elit Wushu di Pusat Sukan Kota Sentosa kelmarin.

Turut hadir Presiden Persekutuan Wushu Sarawak (WFS) Allen Wong, Timbalan Presiden James Ting dan beberapa pegawai lain.

Semasa lawatan, Abdul Karim turut meluangkan masa meninjau atlet menjalani latihan.

Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan turut kagum dengan atlet muda yang tidak kelihatan gelisah apabila melaksanakan rutin mereka.

“Secara peribadi, saya amat kagum dengan apa yang saya lihat malam ini.

Jika ini adalah jenis atlet yang kita telah latih, saya percaya wushu di Sarawak dan juga Malaysia boleh pergi jauh,” katanya sambil memuji komitmen ditunjukkan jurulatih dan pegawai WFS.

Jelasnya, WFS mempunyai ramai pegawai-pegawai yang berdedikasi menjaga Persekutuan Wushu Sarawak dan melatih atlet muda.

“Saya dapat melihat mereka begitu ghairah dengan anakanak, sesetengah daripada mereka adalah dari Miri dan beberapa dari Sibu.

Saya difahamkan bahawa jurulatih Ling menjaga atlet muda ini dengan baik dan juga memasak serta melayan mereka seolah- olah mereka anak-anak sendiri,” kata Karim.

“Apabila anda sampai ke tahap seorang pegawai sanggup menjaga kanak-kanak, anda boleh melihat bahawa mereka mempunyai semangat sukan yang tinggi dan memastikan kanak-kanak ini mendapat latihan yang betul.

“Jika setiap sukan mempunyai pegawai bersikap sebegini, saya amat yakin bahawa Sarawak tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk bergelar juara,” katanya sambil menambah akan berusaha memastikan sukan lain mendapat pegawai yang berdedikasi termasuk penaja.

Sarawak akan menghantar seramai 20 atlet pada kejohanan tersebut dengan Tiong Yong Hee bertindak selaku pengurus dan Ling Ung Hee dan Lau Hui Wei sebagai jurulatih.

Kejohanan Wushu KPM merupakan satu-satunya kejohanan kebangsaan wushu disokong oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan dianjurkan oleh Persekutuan Wushu Malaysia. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment