Tuesday, 15 November 2016

Karim gesa ibubapa galak anak bayar balik pinjaman PTPTN

November 15, 2016


KOTA SAMARAHAN: Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa ibu bapa agar menggalakkan anak-anak yang sudah bekerja agar membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut beliau, PTPTN amat memerlukan pembayaran semula pinjaman memandangkan ia tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk dipinjamkan kepada pemohon baru.

Beliau menambah isu pinjaman PTPTN memeningkan kerajaan kerana ramai yang gagal membayar semula pinjaman PTPTN mereka. 

Abdul Karim tidak menyatakan sebarang angka dalam ucapannya ketika merasmi Mini Konvokesyen Tabika KEMAS DUN N.15 Asajaya di Dewan Suarah Kota Samarahan pagi tadi tetapi menurut sebuah akhbar nasional hari ini, seramai 753,058 PTPTN tak pernah bayar balik pinjaman PTPTN.

Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata masalah ini mengakibatkan pelajar baru tidak memperolehi pembiayaan 100 peratus seperti sebelum ini.

Abdul Karim, yang juga merupakan ADUN Asajaya, juga menggesa ibubapa agar tidak menghalang anak-anak mereka membabitkan diri dalam aktiviti ko-kurikulum.

Menurut beliau, selain daripada akademik, anak-anak juga memerlukan pendidikan berbentuk bukan akademik untuk berjaya dalam kehidupan.

Beliau memberi contoh kemahiran sosial yang sering diajar seiring dengan akademik.

Seramai 244 pelajar Tabika menerima sijil mereka dalam mini konvensyen tersebut. -@ybkarimsays

  

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.