Wednesday 16 November 2016

Anak-anak memerlukan tahap pendidikan setinggi yang mungkin

November 16, 2016

Datuk Abdul Karim bersalaman dengan pelajar SK Sebandi Ulu.
ASAJAYA: Ibubapa perlu ada hasrat untuk memberi pendidikan yang setinggi yang mungkin kepada anak-anak.

Menteri Muda Belia dan Sukan Abdul Karim Rahman Hamzah, ketika berucap di Majlis Graduasi dan Anugerah Kecermelangan SK Sebandi Ulu di Dewan Masyarakat Kampung Sebandi Ulu petang semalam, berkata hasrat ini perlu ada kerana keadaan dunia yang semakin memberi penekanan kepada pencapaian akademik.

Oleh itu, menurut beliau, anak-anak mesti dibantu agar berupaya untuk bersaing dalam dunia yang amat berbeza daripada sebelumnya.

Beliau berkata jika dulu sesuatu jawatan hanya memerlukan kelayakan SPM, kini ia memerlukan kelayakan yang lebih tinggi daripada itu.

Datuk Abdul Karim bersalaman dengan pelajar SK Sebandi Ulu.
Abdul Karim yang juga ADUN Asajaya menggesa ibubapa agar mengambil sikap ingin tahu terhadap aktiviti harian anak-anak mereka.

Beliau berkata ada banyak aktiviti-aktiviti yang boleh memesongkan fokus anak-anak muda sehingga menyebabkan mereka gagal untuk memberi perhatian yang sewajarnya terhadap pendidikan.


Pada masa yang sama, Abdul Karim turut menggesa ibubapa agar tidak menghalang anak-anak mereka membabitkan diri dengan aktiviti ko-kurikulum.

Beliau berkata pembabitan dalam aktiviti ko-kurikulum mampu membantu anak-anak mendisplinkan diri mereka.


Abdul Karim turut mengumumkan sumbangan kewangan sebanyak RM20,000 yang akan diberikan kepada PIBG dan sekolah untuk tahun 2017.

Beliau kemudiannya menyampaikan sijil kepada pelajar SK Sebandi Ulu.

No comments:

Post a Comment