Thursday 27 October 2016

Jom sertai Hari Belia 11-13 Nov


INI DIA ... Abdul Karim Rahman Hamzah menunjukkan logo Sambutan Hari Belia 2016 Peringkat Negeri Sarawak pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur.
KUCHING: Golongan belia di negeri ini dipelawa menghadiri acara Sambutan Hari Belia 2016 Peringkat Negeri Sarawak yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negeri, Petra Jaya daripada 11 hingga 13 November depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pihaknya menyasarkan seramai 10,000 belia berusia 15 sehingga 40 tahun akan menghadiri acara tersebut terdiri daripada pelajar sekolah menengah, pelajar institusi pengajian tinggi, ahli persatuan belia dan badan beruniform, pekerja sektor awam dan swasta.

"Acara ini akan menyediakan peluang kepada belia terbabit mempersembahkan kreativiti dan kepelbagaian bakat mereka dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan dan patriotisme. 

"Ia juga akan membawa belia lebih dekat dengan kerajaan dengan memahami dan menyertai aktiviti anjuran kerajaan," katanya ketika mengadakan sidang media di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya disini semalam.

Abdul Karim berkata sebanyak 71 gerai akan disediakan kepada syarikat yang berminat menyertai acara itu - malahan satu pusat sehenti akan juga disediakan bagi syarikat dan majikan yang mencari pekerja serta maklumbalas dasripada orang ramai.

"Antara kemuncak acara selama tiga hari terbabit ialah pemberian Anugerah Belia Ikon, pemeran kerjaya belia, dapur belia, persembahan bakat belia, di samping gerai jualan, senaman zumba dan aerobik dan pelbagai lagi," katanya.

Katanya acara tersebut ibarat acara Sejiwa Senada anjuran Kerajaan Negeri bagi golongan belia akan bermula jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan merasmikannya pada 12 November.
  

No comments:

Post a Comment