POLITIKING dalaman persatuan sukan menyebabkan Sarawak gagal menjadi juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 yang dianjurkan negeri itu dari 20 hingga 30 Julai lepas.
Sehubungan itu, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, proses 'pembersihan' perlu dilakukan untuk membolehkan Sarawak menjadi kuasa sukan di negara ini pada masa hadapan.
"Kita harus melakukan 'pembersihan' ini untuk memastikan persatuan sukan dalam keadaan baik, menentukan pusat kecemerlangan berada di tempat yang betul dan atlet yang benar-benar layak mewakili negeri," katanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika menutup Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Sibu yang dianjurkan Persatuan Olahraga Bahagian Sibu di Stadium Tun Zaidi di sini hari ini.
Beliau membayangkan proses 'pembersihan' itu dilakukan secepat mungkin kerana Sarawak menyasarkan menjadi juara keseluruhan pada Sukma ke-19 di Perak pada 2018.
Katanya, kementerian itu akan memfokuskan semula di mana mereka mahu mewujudkan pusat kecemerlangan bagi sukan tertentu.
Mengambil Sibu sebagai contoh, katanya ia cemerlang dalam sukan renang, ragbi dan bola tampar sejak sekian lama berikutan pendekatan khas untuk sukan berkenaan oleh penduduk daerah itu.
Katanya, peluang juga harus diberikan kepada atlet untuk mengambil bahagian di pertandingan tahap tinggi mengikut kemampuan mereka.
Menurutnya Sarawak cemerlang di peringkat saingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) untuk tempoh yang lama tetapi gagal menyerlah di peringkat lain.
"Di mana silapnya. Adakah atlet ini berhenti sebaik menamatkan persekolahan menengah atau mereka tidak dipedulikan persatuan sukan yang sepatutnya menjaga mereka?" tanya Abdul Karim.
Menurutnya kementerian itu akan meneliti perkara tersebut supaya atlet terbabit akan terus terlibat dengan sukan yang diminati mereka, mencipta nama untuk diri sendiri, negeri dan negara.
Mengambil contoh kejayaan Olimpian Sarawak, Pandelela Rinong, Abdul Karim berkata tanggapan sukan tidak akan membawa apa-apa kepada seseorang itu adalah tidak betul.
Berikutan itu, beliau menyeru atlet muda Sarawak untuk terus gigih berlatih dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat masa depan yang cerah seperti Pandelela. - Bernama
No comments:
Post a Comment