Friday 2 September 2016

Jabatan baharu ditubuh urus fasiliti SUKMA

September 2, 2016

SELAMAT BERANGKAT: Karim bersalaman dengan para jemaah haji lelaki yang berlepas ke Jeddah malam kelmarin.
Ia akan memastikan segala kemudahan sukan dapat diselenggara, diguna pelbagai pihak: Karim

KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti akan menubuhkan sebuah jabatan baharu bagi memastikan setiap fasiliti sukan yang digunakan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016 lalu dapat diuruskan dengan baik tanpa sebarang masalah.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata jabatan itu berperanan memastikan segala kemudahan sukan dapat diselenggara dan digunakan oleh pelbagai pihak.

“Kita tidak mahu gelanggang sukan sedia ada menjadi ‘gajah putih’ tanpa diuruskan dengan baik.

“Malah ia dapat digunakan oleh semua pihak tanpa ada unsur birokrasi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis menghantar kumpulan jemaah haji terakhir berangkat ke Madinah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, katanya ia akan membabitkan usaha sama antara agensi kerajaan dan persatuan sukan.

Menerusi strategi itu, jelasnya pelantikan persatuan tertentu dalam pelaksanaan mekanisme baharu itu adalah tepat kerana mereka terlibat secara langsung dalam sukan.

Menurutnya, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM400 juta bagi projek membina dan menaik taraf fasiliti sukan di negeri ini untuk digunakan pada penganjuran SUKMA lepas.


Mengulas lanjut, Karim berkata kerajaan kini sedang melakukan transformasi menyeluruh untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa baharu sukan negara dan menyasarkan gelaran juara SUKMA pada 2018 di Perak.

“Jadi kita harus mengkaji dan mencari jalan agar wujud kesinambungan prestasi yang membolehkan atlet-atlet muda ini terus menyinar dalam SUKMA,” katanya.

Dalam kejohanan SUKMA lalu, Sarawak menduduki tempat kedua, dengan juara keseluruhan dimenangi Selangor menerusi perbezaan dua pingat emas.

Sementara itu, seramai 150 jemaah haji Sarawak berlepas ke Kuala Lumpur malam kelmarin sebelum berangkat ke Jeddah bersama 189 jemaah dari Kuala Lumpur.

Seorang jemaah haji, Masni Akib, 67, terharu selepas impian menunaikan Rukun Islam kelima itu tercapai dan dapat mengerjakan ibadah haji tahun ini.

“Gembira selepas menerima makluman daripada pihak Tabung Haji mengatakan dapat menunaikan haji tahun ini.

“Tidak dapat saya bayangkan perasaan ketika menerima surat panggilan daripada Tabung Haji ketika itu,” katanya ketika ditemui.

No comments:

Post a Comment