Tuesday 13 September 2016

Arus pembangunan bantu pergiatkan ibadah Qurban

September 13, 2016

Sebahagian daripada penerima dan wakil kumpulan penerima daging kurban yang menghadiri majlis diperkarangan Pejabat Daerah Asajaya
ASAJAYA: Arus pembangunan yang melanda kawasan Asajaya telah banyak membawa nikmat dan faedah kepada masyarakat tempatan termasuk aspek perlaksanaan ibadah Qurban.

Menurut wakil rakyat Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, di tahun-tahun 70-an, amat jarang sekali ibadah Qurban akan dilaksanakan secara berterusan dari tahun ke tahun di suatu tempat.

Beliau berkata ini disebabkan pada ketika itu keadaan ekonomi tidak mengizinkan ramai individu untuk berbuat sedemikian.

"Pada ketika ini ramai anggota masyarakat yang mahu memberi sumbangan untuk melaksanakan ibadah Qurban.

"Ini disebabkan keadaan ekonomi masa kini yang lebih baik daripada masa dahulu," katanya ketika berucap di Majlis Pengagihan Daging Qurban di Kampung Asajaya Laut petang tadi.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyampaikan daging korban di Kampung Asajaya Laut.

Beliau seterusnya menjangka lebih ramai anggota masyarakat yang akan menghulur sumbangan untuk ibadah Qurban di masa hadapan.

Abdul Karim, yang juga merupakan Menteri Muda Belia dan Sukan, menegaskan pengertian korban bukan sahaja merujuk kepada ibadah Qurban yang dilakukan oleh masyarakat Islam setiap tahun.


Pengertian korban juga merujuk kepada pengorbanan yang dilakukan oleh anggota masyarakat demi kebaikkan individu tersebut, khasnya, ataupun masyarakat, amnya.

Beliau memberi contoh ibubapa yang terpaksa berlapar demi pendidikan anak-anak.

Abdul Karim kemudiannya menyempurnakan majlis dengan melakukan penyerahan simbolik daging-daging Qurban kepada beberapa orang penduduk kampung.

Majlis Pengagihan Daging Qurban di Kampung Asajaya Laut merupakan majlis yang terakhir dan ke-enam yang dihadiri oleh beliau hari ini.

Majlis yang sama diadakan di Kampung Tambirat Lot, Kampung Sambir, Kampung Moyan Laut, Kampung Asajaya Ulu dan diperkarangan Pejabat Daerah Asajaya.

Sebanyak 24 lembu telah disumbangkan oleh pelbagai pihak, termasuk penduduk kampung, untuk menjayakan majlis-majlis tersebut di kawasan DUN Asajaya pada tahun ini.

Turut hadir di majlis-majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Pegawai Daerah Asajaya Habari Bakar dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak Buang Bolhassan. -@ybkarimsays

Kampung Tambirat Lot














No comments:

Post a Comment