Thursday 26 May 2016

Teliti punca pengundi tegar pembangkang di Asajaya, kata Karim


KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa pihak pemimpin di peringkat akar umbi menjalankan penelitian khusus bagi mencari punca kepada penurunan undi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.

Menurut beliau, ia perlu dijalankan berikutan mahu mencari kelemahan BN di kawasan Asajaya yang boleh diperbaiki pihaknya bagi memenangi semula hati rakyat di kawasan itu agar menyokong BN.

“Walaupun BN tidak pernah kalah bagi kerusi Asajaya tetapi terdapat tempat mengundi yang pihak BN kalah pada setiap kali pilihan raya, kalau tidak kalah (di DUN Asajaya) pasti ada saluran-saluran yang kita kalah.

“Tapi tahun ini, kita telah menang jika dibandingkan dengan PRN 2011 dan PRU 2013 yang mana ada sesetengah kampung yang undian BN ada menurun sedikit.

“Kampung-kampung yang mempunyai jumlah undian yang sedikit menurun kepada BN, kita selidik semula dan mencari penawar agar perkara itu tidak berulang lagi pada masa depan.

“Mereka di pihak ranting-ranting, saya minta lihat di manakah salah dan silapnya dan jika diketahui pastikan ia dapat diatasi sebelum PRU tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan PRN Sarawak Ke-11 N.15 Asajaya kelmarin.

Beliau katanya, tidak menyangkal bahawa BN tidak pernah mengalami kekalahan di Asajaya tetapi jika diperhati dan dibuat penyelidikan bermula dari tahun 70-an, kawasan itu juga mempunyai ramai penyokong pembangkang yang tegar.

Karim mendedahkan bahawa jumlahnya adalah antara lebih kurang 1,500 ke 2,000 orang pada setiap kali pilihan raya.

Pemimpin di peringkat ranting perlu berusaha keras mengembalikan kepercayaan penyokong pembangkang tegar tersebut kepada BN.

BN tegasnya lagi, telah membuat persiapan sejak sekian lama untuk menghadapi PRN tersebut dengan menyasarkan golongan belia, wanita dan pucuk kepimpinan.

Maka, ia telah terbukti dan BN bersyukur kerana setiap daerah, tempat dan saluran mengundi di Asajaya semuanya memberi kemenangan besar kepada beliau.

“PRU yang lepas terdapat kecacatan dalam sokongan BN tetapi PRN11 yang baharu sahaja diadakan telah mengembalikan semula semangat BN dan kita menang bukan sahaja dua pertiga tetapi tiga perempat kerusi dalam DUN.

“Ia satu kemenangan yang besar dan kerusi Asajaya turut menyumbang kepada kejayaan BN di negeri ini dan dalam jangka masa lima tahun akan datang kita akan melihat pentadbiran yang lebih baik di Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri.

“Harapan saya kepada pemimpin-pemimpin, kita tidak boleh bersenang-lenang tetapi berusaha meneruskan lagi usaha pembangunan dalam kawasan dan memastikan supaya sokongan rakyat sentiasa membara kepada BN.

“Kalau tiga daerah mengundi dengan jumlah pengundi seramai lebih kurang 6,000 orang tidak dikeluarkan dari Asajaya ke kawasan Muara Tuang selepas persempadanan semula yang dibuat, jumlah kemenangan kita kemungkinan lebih daripada itu,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan sasaran beliau untuk memenangi majoriti undi sebanyak 4,000 tetapi masih menang dengan bergaya.

Karim yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan mengucapkan penghargaan kepada masyarakat Cina walaupun banyak tuduhan yang dilontarkan kepada masyarakat Cina selepas PRU lepas dan mereka sudah berusaha bersatu demi pembangunan negeri.

Beliau tidak juga melupakan penghargaan kepada petugas cawangan dan ranting, pergerakan wanita, pergerakan muda, pemimpin masyarakat, media dan agensi awam kerana telah membantu dan memberi sokongan moral dan sebagainya.

Turut hadir isterinya Datin Zuraini Abdul Jabbar dan anak-anak bagi menyambut hari lahir beliau yang ke-56 dengan mengadakan upacara merenjis air mawar.

Klinik Asajaya turut diberikan sebuah mesin MySono U6 bernilai RM75,000 bagi kegunaan merawat pesakit di kawasan Asajaya, kelmarin.
 

No comments:

Post a Comment