ASAJAYA: Permintaan penduduk Kristian Kampung Semawang di sini untuk memiliki gereja kecil ditunaikan apabila sebanyak RM50,000 dana awal telah diluluskan.
Berita gembira itu disampaikan oleh Menteri Muda Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Kesyukuran Gereja di Kampung Sampun Tebun, Asajaya di sini semalam.
“Walaupun penduduk Kristian di Semawang tidak begitu ramai dengan bilangan rumahnya kurang daripada 100 pintu, namun kita tetap akan membina sebuah gereja kecil di situ bagi kemudahan mereka menunaikan ibadah mengikut kepercayaan mereka.
“Untuk itu saya telah meluluskan dana permulaan bagi projek ini sebanyak RM50,000 dan kos selebihnya akan diusahakan menerusi sumbangan orang kampung dan wakil rakyat lain,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Terdahulu, Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) itu ketika berucap berkata, semua agama menuntut umatnya melakukan kebaikan.
“Sebab itu kita sentiasa menyokong setiap aktiviti keagamaan kerana tiada agama di dunia ini menggalakkan penganutnya melakukan keganasan,” tegasnya.
Tambah Karim lagi, memahami dan mengetahui agama lain adalah penting bagi memastikan sensitiviti kepercayaan dapat dijaga dengan baik sekali gus mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Kita di Sarawak amat beruntung kerana keharmonian dan kesefahaman kita sentiasa terpelihara dengan baik kerana kita memahami antara satu sama lain.
“Berbanding di Semenanjung Malaysia, agama menjadi isu yang dipolitikkan dan menyebabkan perbalahan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di sana,” katanya sambil menasihati rakyat Sarawak agar menghindar diri daripada bersikap ekstremis.
Sementara itu, Ketua Uskup Anglikan Asia Tenggara Datuk Bolly Lapok berkata, semangat muhibah rakyat Sarawak menjadi contoh terbaik dalam menggalakkan hidup secara bertoleransi meskipun berbeza kaum dan agama.
“Keunikan inilah menjadikan rakyat Sarawak sentiasa hidup bersatu berbanding di Semenanjung Malaysia di mana isu agama menjadi bahan berita hangat di sana,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment