SIBU: Tindakan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen menunjukkan kebimbangan serta keprihatinannya berhubung isu pembekuan akaun bank oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ibarat ‘menangguk di air keruh’.
Menteri Muda Pembangunan Belia, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata isu itu diselesaikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bersama dengan SPRM pada 15 Mei lalu.
“Chong tidak perlu bimbang berhubung isu itu kerana ia telah diselesaikan. Pada 15 Mei lalu, Ketua Menteri menasihati SRPM agar tidak membekukan akaun bank terutama mereka yang tidak terlibat dengan pembalakan haram.
“Tindakan Chong itu hanya ingin ‘menangguk di air keruh’ selepas isu itu diselesaikan oleh Ketua Menteri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Abdul Karim berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Chong meminta SPRM tidak membekukan lebih 500 akaun bank milik syarikat di negeri ini selepas SPRM tidak mempunyai cukup bukti mendakwa syarikat terbabit.
Menurut Chong, tidak perlu membekukan akaun bank bagi tujuan siasatan memandangkan semua transaksi itu ada direkodkan oleh bank.
Pada sidang media 15 Mei lalu, Adenan meminta SPRM agar mempertimbang semula atau menarik balik arahan membekukan bank sesetengah syarikat dan individu.
Menurut Abdul Karim, meskipun beliau setuju dengan usaha kerajaan menangani isu pembalakan haram di negeri ini namun diharap SPRM dapat menjalankan siasatan mereka tanpa perlu menyusahkan pihak tidak berkenaan.
“Saya juga agak terkejut dengan jumlah akaun bank dibekukan. Dengan meminta pemilik akaun ini tampil ke hadapan dan merayu agar akaun mereka tidak dibekukan akan menambahkan spekulasi serta kesangsian terhadap SPRM.
“Kita juga berharap usaha Ketua Menteri memerangi pembalakan haram dan penyelewengan lain tidak menyusahkan pihak yang tidak berkaitan,” jelas beliau.
No comments:
Post a Comment