Saturday, 25 April 2015

Masalah reka bentuk antara punca RPR Rangau tidak dapat dijual sepenuhnya

April 25, 2015



KUCHING: Masalah reka bentuk rumah yang tidak menarik antara punca rumah Skim Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Rangau di Limbang tidak dapat dijual sepenuhnya.

Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementerian merancang perumahan namun kadangkala ia tidak mencapai matlamat atau tujuan termasuk RPR di Rangau.

Menurut beliau, projek RPR Rangau yang dibina pada tahun 2003 dan siap tahun 2008 itu tidak mendapat sambutan dan hasil maklum balas daripada pembeli serta orang ramai, ia disebabkan reka bentuknya.

“Ekoran itu usaha kita untuk menjual tidak mencapai apa yang diharapkan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC).

“Bagaimanapun, setakat ini HDC masih dalam proses merancang semula projek tersebut melalui anak syarikatnya Daya Builders Sdn Bhd (DBSB).

“Dalam projek RPR di Rangau, sejumlah 540 unit rumah dibina dan daripada jumlah itu hanya 139 unit dapat dijual manakala selebihnya atau 332 unit tidak dapat dijual dan telah menyebabkan ia terbengkalai begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Abdul Rahman Ismail (BN-Bukit Kota) berhubung perkembangan berkenaan penyelesaian bagi unit RPR yang tidak terjual di Skim RPR Rangau, Limbang semasa persidangan DUN di sini, semalam.

Namun, kata Abdul Karim, kerajaan akan membangunkan semula projek RPR Rangau selepas mendapat peruntukan dan menggembleng program rancangan semula itu bersama pembeli sedia ada.

“Kita merancang membina semula termasuk rumah-rumah yang sudah dibeli dan setelah itu kita akan membangunkannya dan kemungkinan dalam masa setahun ini,” ujarnya.

Berkenaan projek perumahan mampu milik di Pandaruan, Limbang beliau berkata, pihak HDC telah memohon peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) bagi pembinaan sebanyak 500 unit rumah kos rendah.

“Oleh itu, projek ini akan dilaksanakan sekiranya per-untukan tersebut telah diluluskan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai kelaya-kan pembeli untuk rumah mampu milik, Abdul Karim berkata antaranya pembeli haruslah warganegara bermastautin di Sarawak, mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan sudah berumah tangga, duda, janda, atau ibu serta bapa tunggal.

Katanya bagi kategori bujang, mereka diberi kelonggaran dengan usia 30 tahun ke atas, selain itu pemohon juga antara mereka yang berusia 18 tahun hingga 65 tahun.
  

No comments:

Post a Comment