SESAK: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia berbaris untuk mengambil baucar masing-masing di Kompleks Sukan Asajaya semalam. |
Pembayaran guna baucar banyak kesulitan, undang risiko kepada penerima dan bank
ASAJAYA: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang masih menggunakan kaedah pembayaran melalui baucar dinasihat membuka akaun bank.
Perkara itu diingatkan oleh Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang memberitahu keadah pembayaran melalui baucar mungkin tidak akan dipakai sekiranya BR1M diteruskan pada tahun hadapan.
“Kaedah pembayaran melalui baucar ini memberi banyak kesulitan, sebab itu kerajaan menyarankan agar penerima bantuan BR1M membuka akaun masing-masing bagi memudahkan pembayaran dilakukan dengan cepat dan mudah tanpa perlu melibatkan banyak pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan BR1M kepada 1,231 penerima terdiri daripada keluarga dan individu bujang di Kompleks Sukan Asajaya di sini semalam.
Karim yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, kaedah lama itu mendatangkan pelbagai risiko kepada penerima mahupun pihak pengurusan dan perbankan semasa pengagihan dijalankan.
“Kalau dahulu pihak bank terpaksa turun padang bagi memudahkan penerima BR1M menunaikan baucar tersebut sekali gus mendatangkan pelbagai risiko kepada penerima mahupun pihak perbankan.
“Tetapi kaedah baharu pembayaran melalui akaun lebih memudahkan dan selamat digunakan oleh penerima mahupun pihak bank,” tambahnya.
“Meskipun jumlahnya sedikit tetapi gunalah dengan baik, janganlah kamu menggunakannya untuk tujuan yang tidak betul seperti membeli nombor ramalan dan sebagainya,” tegasnya.
Pada majlis itu, beliau mengagihkan BR1M berjumlah RM326,000.
Hadir sama Residen Bahagian Samarahan Abdul Rahman Sebli Senusi dan tetamu kehormat lain.
No comments:
Post a Comment