MIRI: Kerajaan sedang mengkaji dan akan memain peranan meminimumkan kesan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas harga rumah melalui pelbagai cara.
Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini termasuk pemberian sumbangan modal, levi dan beberapa perkara berkaitan.
“Kerajaan cuba meminimumkan kesan GST ke atas kos pembelian pelbagai cara supaya ia tidak membebankan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Kesedaran anjuran bersama Kementerian Perumahan (MOH) dan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) di sebuah hotel di sini semalam.
Menurutnya, pembeli tidak harus terbeban dengan kewujudan GST dan pada masa sama tidak mahu pemaju mengambil kesempatan ke atas perkara itu.
“Bagaimanapun, kita turut akan lihat situasi apabila GST sudah dilaksana sepenuhnya nanti,”katanya.
Terdahulu, beliau memberitahu bahawa seminar itu bertujuan memberi kesedaran dan pemahaman lebih kepada pemaju perumahan dan pihak berkaitan seperti bank dan firma guaman mengenai penguatkuasaan serta keperluan Ordinan Pembangunan Perumahan (HDO) 2013 dan pindaan-pindaan dalam Syarat Pembangunan Perumahan (HDR) 2014 dan 2015.
Hampir 600 peserta menyertai seminar yang diadakan di seluruh Sarawak bermula di Kuching pada 25 Mac lalu.
Seminar seterusnya bakal diadakan di Bintulu esok (2 April) dan di Sibu pada 7 April.
Turut hadir Setiausaha Tetap MOH Dr Wan Liz Ozman Wab Omar.
No comments:
Post a Comment