Monday, 27 April 2015

Penyebaran maklumat palsu menimbulkan kesan negatif

April 27, 2015


BETONG: Golongan belia harus sedar bahawa penyebaran maklumat palsu dalam media sosial menimbulkan pelbagai kesan negatif khususnya melibatkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menteri Muda Pembangunan Belia dan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata golongan belia seharusnya sedar penyebaran maklumat palsu bukan boleh dimain-mainkan dalam laman sosial kerana ia mampu tersebar dengan pantas dan boleh menyebabkan salah faham di kalangan masyarakat.

“Jangan menggunakan kemudahan teknologi itu melayari sebarang laman web negatif yang boleh mendatangkan kesan tidak baik pada diri, bangsa dan negara.

“Golongan belia harus bijak mengguna aplikasi-aplikasi teknologi maklumat media sosial untuk membantu mengetahui isu-isu semasa dalam dan luar negeri,” katanya pada Majlis Penutupan Penangguhan Program Motivasi Belia ‘Kawanku Sayang Keluargaku Kenang’ di Pusat Sumber Pembangunan Desa (PSPD) Hulu Layar pada April 18 lepas.

Program dianjurkan Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Negeri melibatkan 75 belia.

Menurut Abdul Karim, menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) mementingkan peranan belia yang menjadi pelapis pemimpin negara supaya mereka tidak terjebak dalam masalah sosial melalui sokongan pelbagai pihak.

“Kerajaan tidak meminggirkan peranan belia dalam mencorakkan kemajuan negara dan pelbagai program belia diadakan bagi mentransformasikan belia maju dalam pelbagai aspek.


“Belia cemerlang adalah aset negara paling berharga dalam meneruskan kepimpinan bagi mencapai kegemilangan sekali gus menyediakan golongan pelapis berdaya saing.

“Justeru, bagi mencapai tujuan itu golongan belia seharusnya membabitkan diri dengan kegiatan berfaedah,” katanya.

Abdul Karim berkata, pelbagai aktiviti dirancang kerajaan untuk mendekati golongan belia kerana mereka bakal mewarisi kepimpinan negara masa depan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohamad Razi Sitam berkata zaman moden ini memang banyak cabaran dan dugaan perlu dijaga oleh belia bagi membentuk mereka ke arah kebaikan.

“Dari sudut masalah sosial terlalu banyak risiko dihadapi belia dan isu terbesar sekarang seperti dadah dan pil khayal yang banyak memberi kesan kepada belia.

“Kita tidak mahu belia yang merupakan pewaris kepimpinan negara terjebak dengan gejala-gejala tidak sihat,” katanya.

Menurut Razi, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membentuk belia cemerlang dan melalui penglibatan program seperti ini sebagai langkah penting agar mereka tidak terjebak dalam perkara tidak berfaedah.

“Sekiranya tiada sebarang usaha dilakukan menggalakkan golongan tersebut mengambil peranan serta tanggungjawab sebagai pemimpin pada masa akan datang, negara akan ketandusan barisan kepimpinan berwibawa yang dapat memainkan peranan di peringkat global,” katanya.
  

No comments:

Post a Comment