Monday, 1 September 2014

Insiden rusuhan amat mendukacitakan: Karim

September 1, 2014

KUCHING: Insiden keganasan atau rusuhan bola sepak yang berlaku ketika perlawanan antara Sarawak dan Perak di Stadium Negeri malam kelmarin adalah suatu yang amat mendukacitakan.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku dan berpendapat seorang penyokong yang bertanggungjawab sepatutnya bijak mengawal perasaan dan emosi.

Justeru, beliau menyatakan tindakan merusuh dan merosakkan harta benda awam (vandalisme) merupakan suatu kesalahan yang serius dan pihak yang bertanggungjawab melakukannya dikenakan tindakan sewajarnya.


“Kita ternyata sungguh sedih dengan insiden yang berlaku malam kelmarin. Sepatutnya kita datang ke stadium untuk menonton perlawanan.

“Sekiranya niat untuk datang ke stadium semata- mata ingin mencederakan pasukan lawan atau penyokongnya serta membuat masalah sebaiknya jangan datang ke stadium,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Abdul Karim berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan polis sepatutnya bersedia dengan sebarang kemungkinan berikutan ketegangan yang berlaku.

“Pada perlawanan antara Perak dan Sarawak di Ipoh lalu, terdapat pergaduhan berlaku menyebabkan beberapa penyokong Sarawak dibelasah dan sejak itu ketegangan berlaku.

“Sekiranya pihak bertanggungjawab bertindak dengan melihat dan memantau situasi tersebut dan media sosial tidak mengapi- apikan penyokong Sarawak pastinya perkara ini dapat dibendung,” ujarnya.

Katanya, insiden itu merupakan suatu yang amat dikesali dan berharap agar Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan penyokong yang tidak bersalah tidak perlu dihukum akibat tindakan segelintir pihak sahaja. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment