Friday, 26 September 2014

Piala Sarawak: Skuad Samarahan serba mantap

September 19, 2014

BARISAN MANTAP: (Barisan tengah dari tiga kanan) Haidel, Abdul Karim dan Ismawi bersama jurulatih dan para pemain Samarahan yang akan mengharungi Piala
Sarawak 2014.
Berbekalkan semangat juang tinggi Karim yakin piala berprestij itu kembali semula ke dakapan PBBS

KUCHING: Pemain bola sepak Samarahan perlu mempunyai mentaliti mesti menang jika berhasrat untuk membawa pulang kejuaraan Piala Sarawak.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga penaung Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) menjelaskan pemain juga harus mempunyai semangat juang yang tinggi serta komited untuk menjulang nama Samarahan di persada bola sepak tempatan.

“Saya yakin berbekalkan semangat yang tinggi dalam diri setiap pemain akan merealisasikan impian Samarahan muncul juara Piala Sarawak 2014.

“Sudah pasti kita semua di sini mahu melihat piala berprestij itu kembali semula ke Samarahan setelah kali terakhir kita melakukannya pada 2008,” katanya semasa majlis penyerahan bendera skuad Samarahan kelmarin.

Hadir sama Presiden PBBS Haidel Heli, Pengurus Pasukan Ismawi Muhammad, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Razali Dolhan dan Temenggong Bahagian Samarahan Chek Bujang.

Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan juga meletakkan harapan yang tinggi di bahu skuad bimbingan Ibrahim Mentali itu untuk membawa Samarahan muncul juara bagi edisi kali ini.

Pada masa yang sama, ADUN N.14 Asajaya itu berharap kejayaan pasukan bola sepak akan menjadi pemangkin kepada impian Samarahan untuk menjadi kuasa sukan di negeri ini.

Sementara itu, Haidel mengakui barisan skuad Samarahan kali ini serba mantap dan mampu melakar kejutan pada kempen Piala Sarawak kali ini.

Samarahan diundi bersama Limbang, Betong dan Mukah dalam Kumpulan C.

Mereka akan memulakan kempen dengan menentang Mukah di Stadium Unimas pada 20 September jam 8.15 pagi.

Saingan lain menyaksikan juara bertahan Kuching diundi bersama Bintulu, Kapit dan Sukma 2016 dalam Kumpulan A, Miri, PDRM dan Sarikei (Kumpulan B), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sri Aman dan Sibu (Kumpulan D).

Kejohanan Piala Sarawak 2014 anjuran FAS akan berlangsung dari 20-27 September dengan Kuching dan Samarahan dipilih selaku tuan rumah.

Abdul Karim akan merasmikan pembukaan kejohanan di Stadium Mini Samarahan pada 20 September manakala Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dijangka merasmikan penutupan di Stadium Negeri pada 27 September ini.

No comments:

Post a Comment