Sunday, 7 October 2012

Sarawak sedia wujudkan Majlis Perundingan Belia negeri

October 7, 2012

ABDUL Karim Rahman Hamzah (tengah) menyampaikan cek bernilai RM5,000 kepada wakil Saberkas sambil diperhatikan oleh Razali Mohamad (dua dari kiri) dalam Majlis Persidangan Persatuan Belia Sarawak 2012, di Kuching, semalam.
KUCHING - Sarawak bersedia mewujudkan Majlis Perundingan Belia (MPB) negeri sebagai platform memantapkan rangkaian kerjasama menerajui cabaran pembangunan kepimpinan belia.

Menteri Muda Pembangunan Belia negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, MPB merupakan pentas terbaik untuk golongan belia menyuarakan idea, pendapat dan pendirian atas pelbagai isu pembangunan negara serta antarabangsa.

Katanya, rancangan tersebut masih dalam peringkat perbincangan antara Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) negeri dengan Kementerian Belia dan Sukan.

"Setakat ini, kita masih memperhalusi cadangan mewujudkan MPB di negeri ini memandangkan Sarawak masih belum memiliki badan tersebut.

"Kita yakin rancangan ini dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat sekali gus meningkatkan kepercayaan belia terhadap hasrat kerajaan untuk membangunkan hala tuju belia negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Persatuan Belia Sarawak 2012 di sini hari ini.

Yang hadir sama Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Razali Mohamad.

Kira-kira 100 peserta daripada pelbagai persatuan belia negeri ini mengambil bahagian dalam persidangan tersebut.
  
Pada majlis tersebut, Abdul Karim turut menyampaikan sumbangan bernilai RM5,000 kepada Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) untuk mengadakan aktiviti tahunan persatuan.

Abdul Karim berkata, MPB akan menjadi serampang dua mata apabila ia turut membincangkan kaedah berkesan mengenai perlaksanaan program pembangunan belia masa kini.

"Menyedari kepentingan aktif berpersatuan dan kekuatan kesatuan, saya menegaskan agar anggota MPB turun padang lebih kerap untuk mengenali dan mendekati belia di seluruh negeri ini.

"Justeru saya yakin persidangan kali ini bakal mencetuskan banyak pandangan baru dalam menjana era pembangunan golongan belia," katanya.

No comments:

Post a Comment