Monday 8 October 2012

KUBSB diseru komited majukan ahli

October 8, 2012

RASMI: Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga kanan) menyaksikan persembahan silat pada perasmian Karnival Gegar Samarahan di ruang parkir Desa Ilmu kelmarin. Turut kelihatan Aini (kanan) dan Razemi (empat kanan).
KOTA SAMARAHAN: Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad (KUBSB) di sini diseru agar terus komited memajukan ahli-ahlinya yang terdiri daripada kalangan usahawan kecil dan sederhana.

Perkara itu ditegaskan Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis perasmian Karnival Gegar Samarahan 2012 anjuran KUBSB dengan kerjasama Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Samarahan di sini malam kelmarin.

Karim memberitahu bahawa beliau amat yakin kemampuan KUBSB untuk memajukan dan mentransformasikan ahli-ahlinya menjadi usahawan berjaya suatu masa kelak.

“Walaupun baharu dua tahun ditubuhkan di bahagian Samarahan, tetapi mereka bijak mengurus perjalanan ahli-ahlinya yang terdiri daripada usahawan-usahawan kecil.

“Jadi harapan saya adalah untuk melihat mereka ini nanti terus berkembang di seluruh negeri kerana saya tahu KUBSB Samarahan komited menjaga ahli-ahlinya dengan penganjuran pelbagai aktiviti untuk mereka,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya mencadangkan agar KUBSB terus mengadakan aktiviti secara bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi bagi mempromosikan perniagaan mereka.

“Pasar malam memang popular jadi KUBSB harus mengadakan aktiviti sekurang-kurangnya seminggu sekali mungkin satu hari di sini, kemudiannya di Matang, Taman Sukma, Satok dan sebagainya.

“Ini akan membolehkan mereka menjelajah keseluruhan bahagian di negeri ini untuk mempromosikan produk mereka,” jelasnya.

Pada masa yang sama, pembangunan yang dibawa kerajaan di kawasan Samarahan juga memberi banyak manfaat kepada usahawan-usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka dengan mudah.

“Samarahan dahulunya kawasan terbiar tetapi sekarang sudah menjadi lokasi perniagaan yang strategik kepada usahawan-usahawan kecil,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap KUBSB memanfaatkan peluang itu untuk memajukan ahli-ahlinya agar menjadi usahawan berjaya.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Samarahan Mohd Aini Wahab, Pengerusi KUBSB Razemi Sarbini dan tetamu lain.

No comments:

Post a Comment