Tuesday, 9 October 2012

Atur program, aktiviti ikut kehendak, minat belia: Karim


KUCHING: Menteri Muda Belia Abdul Karim Rahman Hamzah semalam menekankan kepada persatuan-persatuan belia negeri ini agar mengatur program serta aktiviti mengikut kehendak dan minat para belia secara menyeluruh.

Katanyanya ia adalah bagi menjaga dan memperbaiki kadar penglibatan para belia dalam setiap program dan aktiviti yang dijalankan dari semasa ke semasa.

“Kalau kita dapat menjangkau 30 hingga 40 peratus penglibatan belia terhadap program dan aktiviti yang dijalankan, mungkin boleh dianggap sebagai satu kejayaan kerana untuk mengubah masyarakat adalah susah.

“Sebab itu, kalau dapat kita harus mengatur program dan aktiviti mengikut apa yang mereka suka.

“Kalau sukan kita anjur sukan atau kalau keusahawanan kita anjur keusahawanan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Persatuan Belia Negeri Sarawak 2012 di sini, kelmarin.

Hadir sama Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Razali Mohamad.

Sehubungan itu, Karim yang juga Menteri Muda Perumahan merangkap ADUN Asajaya berkata kerajaan negeri telah menyediakan banyak peruntukan untuk penganjuran program serta aktiviti pembangunan belia.

“Kita telah memantau masalah yang membelenggu belia serta kegiatan yang bermanfaat untuk para belia dari semasa ke semasa.

“Ini menunjukkan kerajaan negeri menyokong penuh usaha kerajaan pusat dalam membangunkan belia di negara kita,” katanya.

Sementara itu, Razali menyeru persatuan-persatuan belia Sarawak khususnya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak ketinggalan dalam memohon dana daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk menganjurkan aktiviti serta program berkaitan.

“Fikirkan apa program dan perancangan terbaik untuk golongan belia kita.

“Dana daripada MBM begitu banyak sekali dan inilah peluang yang harus kita manfaatkan demi pembangunan belia kita,” katanya.
   

No comments:

Post a Comment