Wednesday, 24 October 2012

Jambatan pendekkan masa perjalanan penduduk: Karim


ASAJAYA: Penduduk di daerah ini dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang dijangka tidak lagi mengalami kesukaran menempuhi perjalanan yang lama untuk pergi ke bandar raya Kuching, sekiranya pembinaan Jambatan Samarahan direalisasikan tahun depan.

Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah berkata walaupun belum lagi diumumkan secara rasmi oleh kerajaan, berita berkenaan projek tersebut adalah positif.

“Saya menjangkakan Jambatan Samarahan ini dapat dibina bermula tahun depan dengan tempoh pembinaan dijadualkan selama dua tahun.

“Dengan adanya jambatan tersebut nanti, ia akan memudahkan penduduk terutama dalam daerah Asajaya untuk pergi ke Kuching.

“Ia juga akan memendekkan tempoh perjalanan kepada setengah jam kerana sekarang memerlukan satu jam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Bahagian Samarahan, di sini semalam.

Karim yang juga Menteri Muda Belia berkata anggaran kos pembinaan jambatan tersebut ialah RM100 juta dan dibiayai oleh kerajaan persekutuan.

Pembinaan jambatan itu juga katanya akan mencukupi lebuh raya pesisir di daerah Asajaya.

“Jambatan ini akan dibina bersebelahan Kampung Baru menyeberang masuk ke Kampung Tambey,” katanya.

Menurut ADUN Asajaya itu pembinaan jambatan tersebut sudah dalam perancangan sejak Rancangan Malaysia Kelapan.

Tambah beliau ia sudah diluluskan tetapi belum dilaksanakan kerana masalah peruntukan serta keutamaan.

“Sebab itu jambatan lain dibina dulu tapi pada masa ini kalau kita lihat memang jambatan ini diperlukan kerana untuk pergi ke Kuching penduduk di sini perlu menggunakan perkhidmatan feri dan beratur panjang setiap pagi,” katanya.

Katanya kemudahan jambatan itu nanti akan memberi manfaat kira-kira 70,000 penduduk di daerah Asajaya.
  

No comments:

Post a Comment