Sunday 14 October 2012

27,697 kekosongan belum diisi ­tenaga kerja mahir


MIRI: Sarawak masih mengalami 67.8 peratus atau 27,697 kekosong-an yang belum diisi oleh tenaga kerja mahir dalam tiga sektor utama iaitu pembinaan, pembuatan dan pertanian serta perhutanan.

Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berdasarkan perangkaan jumlah tenaga kerja di Sarawak tahun lalu, terdapat sejumlah 1,042,400 pekerja meliputi semua sektor dan ini belum mencukupi untuk menampung keper-luan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Beliau berkata, berdasarkan kajian Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dianggarkan sebanyak 266,895 pekerjaan baharu bagi se-puluh sektor utama dan 667,238 pekerjaan baharu bagi kawasan SCORE akan wujud sehingga tahun 2030.

“Ini memerlukan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang dan kategori berkaitan, justeru kerajaan mengambil berat akan keperluan negara untuk mengurangkan kebergantungan sektor pekerjaan kepada pekerja asing.

“Pekerja asing tidak mahir me-ningkat lebih dua kali ganda sejak tahun 2000 kepada 1.9 juta dan kebanjiran pekerja asing tidak mahir berkos rendah melambatkan pe-laburan dalam mekanisasi dan inovasi, terutama dalam sektor pertanian dan pembuatan,” katanya pada Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) Wilayah Timur Ke-8 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, semalam.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Ketua Pengarah JTM Kementerian Sumber Manusia Datuk Romli Hassan, Pengarah Pusat Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu merangkap Pengerusi ILJTM Wilayah Timur Dr Ramli Rashidi dan Pengarah ILP Miri Mohd Faizal Tokeran.

Abdul Karim berkata, kerajaan mempunyai matlamat menyusun semula pasaran pekerjaan, menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi melalui pengwujudan pasaran pekerjaan efisien untuk memba-ngun, menarik dan mengekalkan modal insan berkemahiran.

“Pihak kerajaan amat mengambil berat dan memandang serius ter-hadap usaha untuk menampung keperluan sumber tenaga mahir bagi projek pembangunan di seluruh negara.

“Saya difahamkan sehingga Julai tahun ini, seramai 5,396 pelajar ILJTM seluruh negara berjaya menamatkan latihan mereka dan daripada jumlah itu, seramai 497 orang pelajar telah tamat pengajian di ILJTM Wilayah Sarawak pada konvo-kesyen kali ini,” katanya.
  

No comments:

Post a Comment