KUCHING, Jumaat — Generasi muda kini perlu diterapkan dengan nilai agama yang mampu menjadi benteng pertahanan kepada pelbagai ancaman arus globalisasi yang semakin menular dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
Menteri Muda Pembangunan Belia Negeri, Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, generasi muda sebagai pencorak masa depan negara wajib dilengkapkan dengan nilai hidup yang berteraskan agama, moral dan budaya.
“Ciri dan nilai peribadi unggul ini mampu menentukan kecemerlangan negara ke tahap yang lebih gemilang lagi dan menjadi pembimbing untuk tidak sesat daripada landasan Islam yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Rakan Muda Ramadan Khatam al-Quran Peringkat Negeri Sarawak 2013 di Surau Bandarshah, Kampung Bintangor, di sini, malam tadi.
Katanya, umat Islam harus mengambil kesempatan pada bulan Ramadan ini untuk membentuk generasi belia yang memiliki keazaman untuk menjadi muslim sejati, sahsiah dan disiplin yang terpuji dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan.
“Kita tidak lagi mampu berpeluk tubuh atau menunding jari sesama kita sekiranya masyarakat Islam tidak berubah dan terus dibelenggu dengan isu keruntuhan moral dan kemerosotan institusi keluarga.
“Justeru, belia perlu samasama mencorakkan perubahan dari sekarang dan melengkapkan diri dengan persiapan mental, fizikal, rohani dan jasmani untuk menempuh cabaran globalisasi yang datang dengan pelbagai perubahan yang mendadak,” tegasnya.
“Remaja harus mengambil kesempatan dengan melakukan pengisian berkualiti di bulan Ramdan ini serta mensyukuri dan menghormati kesuciannya menerusi program ini,” ujarnya.
Dalam program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri itu, sebanyak 110 buah masjid dan surau seluruh Sarawak terlibat dalam program berkenaan dengan penglibatan seramai 2,200 belia.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Haji Abdul Haris Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Surau Bandarshah, Naz Ismadi Khalit.
No comments:
Post a Comment