Tuesday 9 April 2013

Sarawak sokong sukan Ekuestrian


KERAJAAN Negeri akan memberi sokongan padu kepada Persatuan Ekuestrian Sarawak dalam usaha untuk membangunkan sukan berkuda di negeri pada masa depan. Menteri Muda Pembangunan Sukan, Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sukan berkuda agak asing kepada kebanyakan penduduk negeri ini. 

Sehubungan itu, katanya, maklum balas daripada persatuan sangat diperlukan. Antaranya dari segi bantuan kewangan, permohonan tanah untuk aktiviti sukan berkuda, rangkaian hubungan dan seumpamanya.

“Sekiranya mempunyai masalah, persatuan boleh memohon bantuan daripada kita kerana Kementerian Pembangunan Sosial juga bertanggungjawab dalam bidang sukan di negeri ini,” ujarnya semasa menghadiri Majlis Jamuan Malam dan Amal Ekuestrian Sarawak 2013 malam kelmarin. 

Kata Karim, ahli persatuan disarankan untuk lebih proaktif dalam menjalankan aktiviti sukan berkuda kerana sukan tersebut berpotensi diterapkan dalam acara bersukan di negeri ini.

“Saya yakin, sekiranya sukan berkuda ini mencapai tahap yang diperlukan, sukan ini boleh dimasukkan dalam Sukan Malaysia 2016 (SUKMA) yang akan dijadualkan di Sarawak, maka, sukan berkuda ini perlu pendedahan yang banyak,” tegasnya. 

Terdahulu, Karim mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada persatuan dalam menjalankan aktiviti persatuan. 

Beliau juga dilantik sebagai Ahli Kehormat Persatuan Ekuestrian Sarawak. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Ekuestrian Sarawak, Abd. Rahman Sepawie berkata, persatuan merancang untuk memberbanyakkan latihan dan memantapkan kemahiran sukan berkuda dalam kalangan ahlinya.

“Kita akan mengadakan kursus untuk ahli-ahli persatuan dan jurulatih sukan berkuda selain program pembangunan sosial untuk haiwan dan penunggang kuda,” ujarnya sambil memberitahu kursus tersebut diadakan dari semasa ke semasa. 

Kata Rahman, untuk menjadi penunggang amatur perlu belajar sehingga lima tahun manakala, penunggang profesional pula perlu belajar sehingga enam dan tujuh tahun.

“Kini, kita mempunyai tujuh ekor kuda pony tempatan bersaiz besar dan pada hujung tahun ini, kita akan menerima tiga lagi ekor kuda manakala, empat lagi tahun depan,” katanya. 

Menurutnya, kos perubatan seekor kuda adalah antara RM200 hingga RM300 untuk sebulan, manakala kos pemakanannya pula antara RM400 hingga RM500. 

“Sekarang kami sedang melakukan naik taraf sebuah tanah seluas dua ekar di Kampung Sinar Budi untuk menempatkan kandang kuda serta tempat melakukan latihan sukan berkuda,” jelasnya. 

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Majlis Ekuin Malaysia, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Acryl Sani Haji Abdullah Sani. 
   

No comments:

Post a Comment