Sunday 7 April 2013

Calon BN Kota Samarahan mampu memberi khidmat terbaik, kata Karim


KOTA SAMARAHAN: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah yakin calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Kota Samarahan dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan rekod perkhidmatan calon berkenaan sebelum ini yang mengetahui masalah dan keperluan rakyat di kawasan itu.

“Kita mengetahui keupayaan calon ini dan kita tahu beliau amat rajin bekerja untuk rakyat di kawasan ini, malah beliau tahu masalah dan keperluan rakyat.

“Jadi tidak menjadi masalah kepada beliau dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Samarahan ini nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Karnival Komuniti 1Malaysia Peringkat Negeri di Halaman Samarahan semalam.

Karim yang juga Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembanguna Belia (Bandar) berkata, untuk itu beliau berharap rakyat khasnya pengundi di Parlimen Kota Samarahan dapat memberi sokongan padu kepada kepimpinan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Pada masa sama, beliau memberitahu jentera BN di kawasan itu sudah lama bersiap sedia menghadapi pilihan raya dan hanya menunggu digerakkan sahaja.

“Bilik gerakan sudah ditubuhkan tetapi poster calon belum diletakkan kerana masih menunggu pengumuman dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi BN.

“Calon sememangnya seorang anak tempatan kita tunggu sahaja siapa calon itu kelak, mungkin pada minggu hadapan pengumuman dibuat… tunggu sahajalah,” katanya lagi.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Karim menyarankan agar kawasan yang belum mempunyai Komuniti 1Malaysia (K1M) agar menubuhkannya demi menjaga dan memelihara perpaduan rakyat berbilang kaum yang ada di negeri ini.

Selain itu, beliau menjelaskan, sehingga 2012 Sarawak mempunyai 234 buah K1M yang berperanan sebagai wadah untuk memperluaskan maklumat dan perkongsian yang diusahakan kerajaan untuk membantu masyarakat.

“Justeru, dengan adanya K1M ini, masyarakat dapat menyelami usaha kerajaan dengan lebih mendalam selain berperanan penggerak kepada perpaduan rakyat di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Sri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Zaini Mohamad, Pegawai Daerah Asajaya Rubiah Wang, Pegawai Daerah Kota Samarahan Mohd Ainnie Wahap dan tetamu kehormat lain.

No comments:

Post a Comment