Tuesday, 30 April 2013

Perubahan pesat hasil usaha kerajaan BN


ASAJAYA: Perubahan persekitaran hasil kepesatan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika ini tidak seharusnya diperdebatkan lagi. 

Justeru, dalam konteks yang sama masyarakat sudah boleh menilai sendiri betapa besar sumbangan yang diberikan oleh kerajaan, sekali gus sedar akan kemasukan pelbagai isu yang dibawa pihak pembangkang semata-mata mahu mengelirukan fikiran mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Asajaya, Haji Abdul Karim Rahman Hamzah mengingatkan kepada masyarakat madani hari ini bahawa transformasi dilalui negara dengan kepesatan pembangunan segenap ceruk rantau adalah hasil kebijaksanaan pemerintahan kerajaan (BN) selama ini.

“Tidak perlu dipersoalkan lagi ketika ini dan tiada kerajaan lain yang mampu memimpin serta memberi selain menyedikan kemudahan untuk pembangunan setempat negeri ini selain Barisan Nasional (BN). 

“Oleh yang demikian, adapun isu yang cuba diselitkan pihak pembangkang ketika ini semata-mata mahu meraih simpati dalam usaha mereka memecahbelahkan perpaduan yang telah lama terbentuk,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kejohanan Bola Sepak Juara-Juara Piala Eastdeal Samarahan 2013 di Kampung Sambir, Asajaya semalam.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi, Presiden dan Timbalan Presiden Persatuan Bola sepak Bahagian Kuching (PBBS), Ir Haidel Heli dan Ir Haji Ismawi Muhammad, Pemangku Pegawai Daerah Asajaya, Zulkifli Yusuf, Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.14 Asajaya, Encik Buang Bolhassan, Haji Mohd. Iskana Bujang, Abang Ideris Abang Haji Jamali serta ketuaketua masyarakat mewakili kampung sekitar kawasan terbabit. 

Menyerikan majlis tersebut turut berlangsung pelbagai aktiviti sampingan seperti cabutan tiket bertuah yang menyediakan hadiah-hadiah menarik.

No comments:

Post a Comment