Tuesday, 30 April 2013

Team Boss julang Piala Eastdeal Samarahan

April 30, 2013

RAI KEJUARAAN: Abdullah, Zulkifli, Abdul Karim dan Haidel bersama-sama 
dengan penduduk Kampung Sambir meraikan kemenangan Team Boss di 
Kampung Sambir, Ahad lalu.

KUCHING: Pasukan handalan dari Sambir, Team Boss menjulang Piala Eastdeal Samarahan 2013 selepas menundukkan wakil dari Serian, KBLH Gedong dengan 1-0 pada perlawanan akhir di Padang Bola Sepak Kampung Sambir, Asajaya kelmarin (Ahad).

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh penjaring terbanyak kejohanan, Yusri Hafizan Wahap pada minit ke-35 pada separuh masa kedua.

Kejayaan itu memastikan skuad bimbingan Jalek Japar meraih hadiah lumayan wang tunai berjumlah RM3,000 berserta piala dan pingat.

Manakala KBLH Gedong yang turut menampilkan aksi cemerlang pada saingan suku dan separuh akhir menerima RM1,500 berserta piala dan pingat.

Tempat ketiga pula milik KPRS Empila setelah mereka berjaya menewaskan Kanda FC dengan 2-0.

Empila membawa pulang RM750, piala dan pingat manakala Kanda FC meraih RM400, piala dan pingat.

“Syabas kepada semua pemain kerana telah menunjukkan dedikasi serta komitmen tinggi sepanjang saingan untuk muncul juara,” kata Jalek ditemui selepas perlawanan.

“Namun, kredit juga harus diberikan kepada pasukan lawan yang telah menunjukkan permainan bertenaga namun nasib lebih memihak kepada kita.

“Kejayaan ini cukup manis kerana kita berjaya melakukannya di laman sendiri iaitu di Kampung Sambir. Ia sesuatu yang cukup berharga buat skuad dan seluruh penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Pembangunan Belia merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau gembira melihat kelahiran ramai pemain bola sepak berkaliber dan berpotensi dari Bahagian Samarahan.

“Kita akan mengenal pasti pemain-pemain berbakat untuk diserapkan dalam skuad Samarahan bagi mengharungi Kejohanan Piala Sarawak edisi 2013 ini.

“Saya yakin jika pemain terus berusaha mempertingkat mutu permainan masing-masing, tidak mustahil untuk melihat Samarahan muncul johan pada tahun ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) yang telah banyak menganjurkan kejohanan serupa dalam usaha mencungkil pemain-pemain berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Abdul Karim seterusnya merasmikan majlis penutupan kejohanan tersebut sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Agung FAS Abdullah Julaihi, Presiden PBBS Haidel Heli, Timbalan Presiden PBBS Ismawi Muhamad dan Pemangku Pegawai Daerah Asajaya, Zulkifli Yusuf.
  

No comments:

Post a Comment