Saturday 18 February 2012

Kerajaan pantau peningkatan harga rumah

February 18, 2012

MENARIK: Karim (dua kanan) melihat reka bentuk bangunan hartanah yang dipamerkan pada Pameran Bergerak Hartanah dan Kediaman SHEDA di Kuching, semalam.
KUCHING: Kerajaan akan memantau peningkatan harga rumah untuk memastikan kestabilan pasaran hartanah di negeri ini.

Menteri Muda Perumahan, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pasaran hartanah di Sarawak khasnya Kuching telah meningkat sejak setahun lepas.

Susulan peningkatan tersebut, harga rumah di Kuching telah meningkat kira-kira 10 peratus terutama melibatkan rumah-rumah pada kos tinggi.

“Peningkatan harga rumah bergantung kepada lokasi, kuasa pembeli, jenis rumah serta peningkatan kos bahan binaan.

“Kita tidak dapat mengawal peningkatan pasaran hartanah tetapi kerajaan akan melakukan pemantauan untuk memastikan kestabilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Perasmian Pameran Bergerak Hartanah dan Kediaman SHEDA di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, semalam.

Sebanyak 16 syarikat pemaju mengambil bahagian dalam pameran tersebut yang dibuka secara percuma kepada orang ramai selama tiga hari dari 17 hingga 19 Februari.

Antaranya, Tedfar Realty Sdn Bhd, Zuragaya Sdn Bhd, SHM Development Sdn Bhd, Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad, Borneo Development Corporation (Sarawak) Sdn Bhd, ME Publications Sdn Bhd, Tenaga Seri Wangsa Sdn Bhd dan Oximas Sdn Bhd.

Turut mengambil bahagian ialah Khidmat Mantap Sdn Bhd, Maybank Berhad, Hock Seng Lee Construction Sdn Bhd, Petra Jaya Properties Sdn Bhd, ICT Zone Ventures Berhad, RB Development Sdn Bhd, CMS Property Development Sdn Bhd dan MJC City Development Sdn Bhd.

Dalam perkembangan berkaitan, Karim memberitahu Sarawak turut berhadapan dengan masalah projek rumah terbengkalai, namun ia bukan berpunca daripada masalah permintaan.

Sebahagian daripada projek-projek terbengkalai ini, menurutnya, adalah berpunca daripada masalah pengurusan dalaman sehingga membantutkan kerja-kerja pelaksanaan.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah ini terutama yang membabitkan projek perumahan rakyat oleh agensi-agensi pelaksana yang telah dilantik oleh kerajaan.
   

No comments:

Post a Comment