ASAJAYA: Penduduk di luar bandar tidak harus menjadikan kemiskinan sebagai penghalang kepada mereka untuk menikmati kemajuan negeri ini.
Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penduduk luar bandar dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sempurna jika mereka berusaha gigih untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Kita perlu akui penduduk di luar bandar kini mampu menikmati kehidupan lebih sempurna, lebih maju daripada warga kota,” katanya pada Program Baitulmal Bersama Rakyat di Kampung Beliong, di sini Ahad lalu.
Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya mengingat-kan penduduk di kampung-kampung di sini agar tidak menjadikan kemiskinan sebagai halangan untuk mereka bangkit mengejar kemajuan.
Menurut Abdul Karim, penduduk luar bandar pada masa sekarang telah jauh berubah dan mereka tampak lebih maju kerana banyak peluang pembangunan yang telah disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Memang kita akui Kampung Beliong yang terletak di pinggir Kuching masih terdapat kekurangan dari segi pembangunan infrastruktur.
“Namun, saya percaya ke-kurangan itu bukan menjadi halangan buat mereka (penduduk) berusaha memajukan diri dan keluarga mereka,” katanya.
Beliau menarik perhatian bahawa perancangan yang sedang dan bakal dilakukan oleh kerajaan mampu membawa perubahan dan transformasi baru bagi penduduk di sini.
“Justeru, penduduk kampung harus bersedia menerima perubahan khususnya dalam bidang pendidikan yang dilihat sebagai agenda penting bagi mengubah nasib dan masa depan rakyat,” katanya.
Mengenai pilihan raya negeri akan datang, Abdul Karim juga mengingatkan penduduk agar tidak mudah terpengaruh dengan taktik-taktik mengelirukan oleh pihak pembangkang.
Pelbagai aktiviti diadakan untuk memeriahkan program itu seperti pemeriksaan kesihatan, pameran pembangunan, jualan hasil tempatan dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment