Wednesday, 22 May 2019

Abdul Karim rafak sembah takziah kepada Agong

May 22, 2019

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah merafak sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kemangkatan ayahanda beliau, hari ini.

Paduka ayahanda Yang di-Pertuan Agong, iaitu Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada pukul 8.50 pagi.

"Ini satu berita yang menyedihkan, iaitu kemangkatan Paduka Ayahanda Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi bagi pihak kementerian dan rakyat Sarawak, kita ingin merafak sembah takziah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta keluarga atas kemangkatan Paduka Ayahanda baginda.

"Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman," katanya selepas satu sidang media di sini, hari ini.

Kemangkatan Sultan Ahmad Shah itu diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

"Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah. 

"Sehubungan itu, saya mohon rakyat jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan semoga roh almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama para syhuhada." -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment