Friday, 22 February 2019

Sarawak pertama di Malaysia miliki ‘aerodome’

Abdul Karim bersama (duduk dari kanan) Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee, Presiden WCBF Wu Jun Yan, Menteri Muda Sukan Datuk Snowdan Lawan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Dr Ong Kong Swee bergambar kenangan bersama wakil dari WCBF Sarawak dan WCBF.
KUCHING: Sarawak akan menjadi negeri pertama memiliki fasiliti aerodome yang akan digunakan sebagai venue penganjuran Kejohanan Badminton Masters Dunia Ke-26 diadakan dari 31 Oktober hingga 3 November 2019.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, pembelian stadium buatan dengan kos bernilai RM2.6 juta itu telah dibuat dan ia dijangka mula dipasang pada Julai depan di perkarangan parkir bersebelahan Stadium Negeri, Petra Jaya.

“Untuk mendapatkan 3,000 atlet bermain bermakna kita memerlukan gelanggang yang besar kerana gelanggang sedia ada tidak mencukupi.



Visit Sarawak Campaign
“Justeru, kerajaan negeri bersetuju membina aerodome. Ia tidak pernah dibina di Malaysia dan kita yang pertama. Ia stadium buatan besar yang boleh menempatkan sekurang-kurangnya 20 gelanggang badminton dilengkapi dengan penghawa dingin,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebaik lengkap dibina, aerodome itu katanya akan menjadi fasiliti sukan pelbagai guna untuk tujuan lain seperti bola jaring, futsal, bola keranjang, persidangan dan sebagainya.

Katanya, selain aerodome itu perlawanan juga akan dilangsungkan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Menjelas lanjut, kerajaan negeri katanya menzahirkan rasa gembira kerana Pertandingan Persekutuan Badminton China Dunia (WCBF) memberi penghormatan kepada Kuching, Sarawak sebagai tuan rumah kejohanan dunia itu.

“Kita menjangkakan seramai 3,000 pemain bukan profesional termasuk pegawai dari lebih 20 negara akan menyertai kejohanan ini. Keunikan kejohanan ini ia akan mengumpul semua pengamal badminton dari seluruh dunia di mana setiap tahun ia diadakan di China dan ini kali pertama ia dianjurkan di Kuching,” katanya.

Bagi menjadikannya lebih menarik, Kelab Badminton WCBF Sibu Sarawak akan bekerjasama dengan WCBF membawa bintang-bintang badminton seperti Datuk Lee Chong Wei, Taufik Hidayat dan Koo Kien Keat ke Sarawak.

Abdul Karim menambah kementeriannya juga akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan kejayaan pengajuran kejohanan tersebut.

“Kerajaan negeri bukan hanya melihat penganjuran kejohanan ini dari sudut sukan tetapi dari aspek pelancongan dan ia seiring dengan kempen Tahun Melawat Sarawak 2019,” katanya lagi. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment